Anugerah MSSM-Milo Suntik Semangat Atlet Remaja Di Sukan Sea

Putrajaya – Atlet remaja yang akan membawa cabaran negara ke temasya Sukan SEA di Singapura pada Jun depan mendapat suntikan semangat awal apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2014 hari ini.

 

Welson Sim Wee Sheng, 18, menganggap pemilihannya sebagai Putera Sukan adalah sebagai pengiktirafan besar dalam arena yang diceburinya, sekaligus mendorong beliau untuk berlatih lebih gigih bagi mengharumkan nama negara pada temasya dwitahunan itu.

 

Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu yang beraksi dalam acara renang, melihat pengiktirafan itu sebagai motivasi kepadanya untuk berusaha lebih gigih bagi mencipta lebih banyak kejayaan serta membuktikan status sebagai pelajar bukan penghalang dalam mencipta kecemerlangan dalam sukan.

 

“Anugerah ini menjadi pemangkin kepada saya untuk mengikut jejak langkah perenang lain yang berjaya mengharumkan nama negara,” katanya yang memenangi tiga pingat emas pada Sukan Sekolah ASEAN dan Sukan Malaysia Ke-17 sebelum ini.

 

Beliau ditemui selepas menerima pingat dan trofi daripada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia MSSM-MILO 2014 hari ini.

 

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada 12 individu yang mengharumkan nama negara dalam bidang sukan.

 

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan manakala jurulatih Kejohanan Asean Games di Filipina 2014, Ting Siew Nguong, dan jurulatih U15 International Little

 

Athletic Championship 2014, Chang Siang Cheng, dipilih sebagai Guru Sukan Berjasa. Ketua jurulatih International Combined Event Championship bagi sukan balapan dan padang, Mustafa Kamal, pula dipilih sebagai Jurulatih Sukan Cemerlang.

 

Sementara itu, penerjun negara Nur Dhabitah Sabri, 16, dipilih sebagai Puteri Sukan.

 

Atlet lompat jauh paralimpik Abdul Latif Romly dan atlet pecut paralimpik Felicia Mikat, dipilih sebagai pemenang Anugerah Pendidikan Khas manakala pemain skuasy Kiven Shanmugam dan Noor Ainaa Amani Ampandi memenangi Anugerah Tunas Harapan dan atlet taekwondo Muhammad Syamil Hafiy Md Adnan dipilih sebagai pemenang Anugerah Khas (Putera).

 

Atlet wushu Loh Ying Ting, 18, dari Sekolah Sukan Bukit Jalil Kuala Lumpur yang dipilih sebagai pemenang Anugerah Khas (Puteri), pula mahu menyumbang pingat emas kepada negara pada temasya Sukan SEA itu.

 

“Saya berasa gembira dengan anugerah ini yang akan meningkatkan semangat bersaing. Saya akan berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk mencatat pencapaian yang lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya yang menjadi johan dalam acara Chang Quan dan Gun Shu pada Kejohanan Wushu Remaja Dunia Ke-5 tahun lepas.

 

Anugerah Sukan KPM MSSM-MILO diadakan setiap tahun bagi menghargai golongan atlet dan guru yang menjulang nama negara dalam sukan di peringkat antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.