6,870 Bungkus Rokok Tak Sah Dirampas

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas 6,870 bungkus pelbagai jenis rokok tidak sah dianggar bernilai RM65,883.89 termasuk cukai dalam stor di Pekan Nenas, Pontian dekat sini, pagi kelmarin.

 

Dalam serbuan 10.30 pagi itu, seorang wanita tempatan berusia 51 tahun yang dipercayai penjaga stor berkenaan, ditahan.

 

Komander PPM Wilayah Dua Johor Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, semua barang rampasan serta tahanan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.

 

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang yang belum mendapat kelulusan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

 

“Mengikut seksyen itu, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga 20 kali ganda dari nilai duti atau cukai yang terbabit atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa komited membasmi aktiviti penjualan rokok tidak sah di negeri berkenaan.

 

“Operasi terhadap penyeludupan rokok diteruskan dari semasa ke semasa dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan terbabit diminta menghubungi pihaknya,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.