Tiada Had Umur Henti Berpakaian Seksi, Hidayah Milik Tuhan – Zizi Kirana

KUALA LUMPUR — Penyanyi Zizi Kirana tidak menghiraukan kecaman pengguna media sosial kerana sering memuat naik gambar berpakaian seksi.

Zizi, 32, percaya tidak guna beliau menyekat komen nakal di media sosial kerana mereka tetap akan mencari jalan untuk melempar cemuhan.

“Saya tidak pernah sekat atau tutup ruang komen kerana mereka akan cari jalan lain untuk luahkan perasaan. Jadi saya biarkan saja mereka di situ.

“Saya biasa tidak ambil kisah sangat. Mana komen baik saya terima tetapi mana yang menghina, mereka pun tidak betul, mana boleh,” katanya kepada ProjekMM.

Penyanyi Boleh Jalan diminta mengulas gambar-gambar seksi yang dimuat naik di Instagram sehingga mengundang reaksi ramai.

Tidak mahu bersikap hipokrit untuk tatapan peminat, beliau berkata gambar yang dimuat naik adalah penampilan sebenarnya

“Saya tiada letak batas [gambar yang dimuat naik] tetapi bagaimana gambar di Instagram begitulah saya di luar.

“Saya jenis yang muat naik kemudian saya biarkan saja,” katanya yang masih menerima nasihat positif diberikan peminat.

Bekas ahli kumpulan Fabulous Cat juga tidak pernah memadam gambar yang dimuat naik walau mendapat kecaman ramai.

Katanya, media sosial perlu bersifat terbuka asalkan apa yang dimuat naik tidak keterlaluan dan mengganggu sensitiviti orang lain.

“Saya tidak pernah padam gambar. Saya biarkan saja. Saya tidak boleh halang mereka.

“Mereka pun tidak boleh halang saya. Kita sama-sama fikir sajalah. Jaga diri sendiri,” katanya.

Zizi berkata tiada had umur ditetapkan untuk berhenti berpakaian seksi kerana sering diberitahu “hidayah milik Tuhan”.

“Tengoklah macam mana nanti. Saya pun tidak tahu. Bak kata orang, hidayah itu milik Tuhan. Jadi saya ingat benda itu,” katanya.

Ditanya sama ada mahu kembali ke bidang lakonan selepas membintangi filem Cuti-Cuti Cinta, Zizi berkata ia tidak terlintas di fikiran.

“Saya takut beri komitmen sepenuhnya untuk lakonan. Saya belum bersedia untuk mengambil semangat lama. Baik saya fokus pada nyanyian,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.