Malaysia Jadi Negara Gagal Jika Tidak Bertegas Hukum Individu Biadap Hina Agong

KUALA LUMPUR – Malaysia terdedah menjadi ‘negara yang gagal’ jika kerajaan dan pihak berkuasa tidak bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap individu yang sengaja cuba mencetuskan konflik sesama kaum.

Perkara tersebut tidak mustahil kerana tindakan individu yang biadab seperti menghina ketua negara dan Yang di-Pertuan Agong seolah-olah ‘diterima serta dimaafkan’ oleh pihak berkuasa, sekali gus memberi mesej bahawa bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mereka terus bersikap kurang ajar.

Pemegang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Zainal Kling berkata, kerajaan dan pihak berkuasa tidak boleh lemah dalam me­nguatkuasakan undang-undang kerana isu dibangkitkan mempunyai kaitan dengan aspek ke­selamatan negara.

“Acuh tak acuh dalam menguatkuasakan undang-undang boleh menyebabkan jenayah dan ketidaktentuan kepada negara, seterusnya me­lahirkan keadaan kacau-bilau.

“Undang-undang penting dikuatkuasakan, kalau tidak kita akan jadi ‘negara gagal’ iaitu negara yang tidak boleh melin­dungi dan memberi kesejah­tera­an kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan kerajaan dan pelbagai pihak di Pahang membuat laporan polis susulan kebiadaban pemilik akaun Facebook menggunakan nama Desmond Yongkor menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Dalam perkembangan sama, Zainal berkata, setelah 62 tahun negara mencapai kemerdekaan, agak mustahil jika masih terdapat rakyat yang tidak memahami kedudukan raja-raja Melayu seperti yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.