Wakil PKR Dakwa TPP Mungkir Janji Berhubung Rayuan

Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa pasukan pendakwaan memungkiri janji apabila mereka mengemukakan rayuan berhubung denda RM1,500 yang dijatuhkan ke atasnya selepas beliau mengaku bersalah melanggar Akta Perhimpunan Aman.

 

Menurutnya, pihak pendakwaan bersetuju dengan ‘surat reprensentasi’ oleh peguamnya bahawa rayuan tidak akan difailkan jika beliau mengaku bersalah kerana terbabit dengan himpunan “Black 505” di Selangor pada tahun 2013.

 

“Kita sebenarnya mencapai persetujuan dengan Timbalan Pendakwa Raya (TPP) bahawa jika saya mengaku salah, mereka akan membiarkan kes itu berakhir. Tetapi mereka kemudiannya merayu supaya hukuman lebih berat dikenakan,” katanya kepada Malaysiakini.

 

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin menafikan wujudnya perjanjian itu.

 

“Tiada langsung perjanjian.

 

“Mungkin untuk kes (Naib Presiden PKR) Rafizi (Ramli). Tapi tidak untuk kes Nik Nazmi. Itu silapnya kerana mereka anggap pendakwaan akan mengikuti kedudukan dalam Rafizi bagi kesalahan sama.

 

“Kami tidak pernah bersetuju tentang jumlah hukuman. Kerana itu kuasa Mahkamah. Pihak Nik Nazmi yang berharap kami bersetuju dan terlalu bergantung kpd kes Rafizi.

 

“Hujahan saya sahaja sudah menunjukkan tiada perjanjian antara pendakwaan dan pembelaan,” katanya ketika dihubungi.

 

November lalu, Rafizi dan setiausaha penganjur DAP Anthony Loke didenda RM1,950 kerana melanggar akta sama, semasa siri himpunan “Black 505” yang diadakan di Padang Merbok sebagai membantah keputusan pilihan raya umum ke-13.

 

Menurut ‘surat representasi’ yang dihantar oleh pasukan peguam Nik Nazmi kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, TPP bersetuju untuk tidak merayu jika hukuman yang dijatuhkan adalah denda RM1,800 atau lebih rendah.

 

Ini kerana denda melebihi RM2,000 akan membatalkan kedudukan Nik Nazmi sebagai ADUN Seri Setia dan menyebabkan pengundi tanpa perwakilan sehingga Dewan Undangan Negeri dibubarkan, pada 8 November, 2016 mengikut surat berkenaan yang salinannya diberikan kepada Malaysiakini.

 

Undang-undang menyatakan pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum pembubaran secara automatik DUN Selangor.

 

DUN Selangor akan terbubar secara automatik pada Jun 2018.

 

“Kami mengesahkan bahawa pihak pendakwaan bersetuju dengan surat representasi kami pada 8 November, seperti dinyatakan oleh Timbalan Pendakwa Raya kepada kami,” kata peguam Nik Nazmi Syahredzan Johann sepucuk surat lain kepada Peguam Negara bertarikh 2 Dis 2016.

 

Disoal mengapa tidak ada dokumen untuk membuktikan bahawa pihak pendakwaan bersetuju dengan perjanjian itu, Syahredzan berkata tawaran berkenaan lazimnya dilakukan secara lisan.

 

“Ini kali pertama saya berdepan dengan kes demikian (pendakwa yang tidak mematuhi perjanjian),” katanya ketika dihubungi.

 

Beliau berkata perkara itu mungkin dibangkitkan semasa pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan.

 

Jika Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman denda lebih daripada RM2,000, Nik Nazmi bukan sahaja akan kehilangan kerusinya, tetapi juga hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

 

Denda maksimum bagi kesalahan itu adalah RM10,000.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.