Subsidi Bersasar Tunjuk Impak Positif, Penuhi Keperluan Rakyat – PM

KUALA SELANGOR – Pemberian subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan pada ketika ini telah memberi impak positif kepada golongan yang memerlukan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Jelas Perdana Menteri, menerusi program Jom Bantu Rakyat yang dimulakan pada tahun ini, ia dilihat bukan sahaja meningkatkan taraf ekonomi golongan sasar malah membangunkan infrastruktur setempat.

 

“Program Jom Bantu Rakyat ini satu program dan satu jenama yang semakin diterima oleh rakyat.

 

“Program ini saya harap akan berterusan. Jadi jika ada mana-mana rakyat yang memerlukan bantuan, kita boleh persesuaikan bantuan itu.

 

“Kalau hendak perbaiki rumah dan perlukan zink, kita boleh gantikan zink, kalau perlukan perabot, kita beri perabot, kalau surau sudah usang kita boleh perbaiki. Itu konsep Jom Bantu Rakyat diselaraskan oleh ICU dan ini pendekatan baharu Kerajaan yang saya kata supaya bantuan itu lebih tersasar,” katanya pada pelancaran program tersebut peringkat Kuala Selangor di SK Ijok di sini hari ini.

 

Ujar Najib, golongan sasar seperti nelayan telah berjaya meningkatkan taraf ekonomi dua kali ganda jika dibandingkan pemberian subsidi pukal yang dilaksanakan sebelum ini.

 

“Misalnya, apabila saya berikan peruntukan RM1.5 juta untuk jadikan Kampung Sembilang itu sebagai hub nelayan, apa yg berlaku adalah nelayan boleh menjadi orang yang menjual hasil laut dan bukan lagi melalui orang tengah.

 

“Dengan ini nelayan akan dapat peningkatan pendapatan dua kali ganda daripada dahulu dan ini sedang berlaku kerana Kerajaan keluarkan peruntukan RM1.5 juta buat jeti dan hub nelayan di Kuala Selangor,” katanya.

 

Sebagai rangsangan bagi meningkatkan sektor perikanan di Kuala Selangor, Najib turut mengumumkan tambahan RM1.5 juta bagi pembangunan hub nelayan Kampung Sembilang.

 

Pada majlis sama, Najib turut beramah mesra selain makan tengah hari bersama penduduk setempat selepas melakukan program separuh hari di daerah itu. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.