‘Saya Tak Mahu Terjebak Politik Murahan’

BANTING – “Saya tidak mahu terjebak dengan politik murahan seperti ini kerana saya mempunyai tanggungjawab untuk memajukan negeri dan kesejahteraan rakyat di Selangor.”

 

Demikian jawapan ringkas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada pemberita apabila diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu membabitkan Pengerusi Gerakan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

 

Azmin ketika ditemui dalam Program Turun Padang di Daerah Kuala Langat berkata, beliau tidak berminat untuk bermain dengan politik curang dan kotor.

 

Katanya, tetapi beliau serahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian siapakah yang boleh menjaga kepentingan rakyat dan negeri ini.

 

Jamal direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung pencerobohan beberapa premis perjudian di sekitar Selangor, pada akhir tahun lalu.

 

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Muhammad Firdaus Sadina Ali di Mahkamah Sesyen Ampang, pagi tadi.

 

 

Jamal disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, atas kesalahan melakukan samun ketika menyerbu premis pusat hiburan di Taman Kosas.

 

Jamal tiba di mahkamah di sini, kira-kira jam 10.05 pagi dengan tangan bergari serta memakai baju kemeja-T dan seluar hitam.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.