Petrol Tak Masuk Ke Tangki Secara Magik

ULASAN Dua hari lalu, Tony Pua dan Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa kerajaan tidak mempunyai sebarang alasan untuk menaikkan harga petrol untuk Februari kerana harga minyak mentah telah turun pada Januari lalu.

 

Hari ini, selepas diberitahu bahawa harga petrol adalah berdasarkan kepada harga minyak yang sudah diproses dan bukan minyak mentah, Tony tiba-tiba bersetuju pula dengan kami dan mengakui harga minyak yang sudah diproses telah naik pada Januari berbanding bulan sebelum itu.

 

Ini bermakna kenyataan kedua-dua Tony dan Wan Azizah mendakwa tiada asas untuk kenaikan harga minyak itu adalah salah. Mereka sepatutnya meminta maaf kerana mengelirukan orang ramai dengan dakwaan mereka.

 

Biarpun Tony Pua tidak lagi mendakwa bahawa kerajaan tidak mempunyai asas untuk kenaikan harga petrol bagi Februari, beliau kini mempertikaikan jumlah kenaikan dan memberikan kiraannya yang secara jelas, adalah salah.

 

Tony membuat perkiraan iaitu harga purata MOP95 bagi Disember 2016 adalah AS$66.553 bagi setiap tong atau AS$0.4186 bagi setiap liter. Ia menjumlahkan ia kepada RM1.8753 setiap liter mengikut kadar tukaran mata wang pada masa itu iaitu AS$1 = RM4.48.

 

Tony memperoleh harga purata MOP95 bagi bulan Disember 2016 pada kiraan hampir tepat namun telah melakukan kesilapan pada kadar tukaran mata wang selepas dibandingkan dengan data kadar tukaran mata wang rasmi yang dikeluarkan Bank Negara. Kadar tukaran mata wang bagi hari dagangan MOPS pada Disember 2016 adalah AS$1 kepada RM4.4599, dan bukannya RM4.48 sebagaimana diberikan oleh Tony.

 

Data tukaran mata wang rasmi dikeluarkan BNM boleh dirujuk di capaian ini.

 

Lebih kritikal lagi, Tony seperti tidak mengetahui bahawa pemandu di Malaysia tidak mengepam minyak secara terus dari loji penapisan kerana minyak diproses perlu dibeli oleh syarikat minyak, dipasarkan, diangkut dan diagihkan di stesen minyak masing-masing, yang kesemuanya memerlukan kos.

 

Caj atau margin bagi petrol RON95 telah diperincikan dengan jelas oleh kerajaan melalui mekanisme harga automatik sejak April 1983. Ia melibatkan 31.73sen setiap liter, termasuk 5sen ‘Alpha’ bagi perbezaan harga ketika dibeli dari pusat pemprosesan, 9.54sen bagi kos pengangkutan dan pemasaran, 5sen bagi keuntungan syarikat minyak dan 12.19sen bagi keuntungan stesen minyak.

 

Lanjutan itu, perkiraan Tony pada RM1.8753 bagi setiap liter bagi bulan Disember bagi menentukan harga bagi Januari 2017 adalah salah.

 

Harga APM termasuk keuntungan yang dikawal dan kos bagi Januari 2017 ialah RM2.19 bagi setiap liter, di mana 9sen setiap liter adalah lebih tinggi daripada harga pada pam pada bulan itu iaitu RM2.10 bagi setiap liter.

 

Tony juga cuba membuat perkiraan harga di pam untuk Februari dan mendakwa purata MOP95 adalah sedikit tinggi pada AS$68.820 bagi setiap tong atau AS$0.4328 bagi setiap liter bagi Januari, dengan itu diterjemahkan kepada RM1.9130 bagi setiap liter bersandarkan kepada kadar tukaran mata wang AS$1 kepada RM4.48.

 

Bagaimanapun, Tony telah memperoleh kedua-dua harga MOPS dan kadar tukaran mata wang asing yang salah. Kadar tukaran mata wang bagi Januari 2017 adalah RM4.4592 dan bukannya RM4.42 sebagaimana didakwa Tony.

 

Selain itu, harga diberikan Tony adalah RM1.9130 bagi setiap liter tidak memasukkan keuntungan dan kos APM sebagaimana diperincikan di atas.

 

Harga APM bagi Februari 2017 seharusnya RM2.262 bagi setiap liter, 3.8sen lebih rendah daripada RM2.30 harga di pam bagi bulan Februari 2017.

 

Hakikat bahawa terdapat 9sen bawah kos pada Januari dan 3.8 sen terlebih caj pada Februari menunjukkan mengapa perlunya pengurusan terhadap pengapungan. Tanpa kawalan ini, harga petrol RON95 mungkin akan melonjak sebanyak 30sen dari Disember ke Januari dan 10sen bagi Januari dan Februari.

 

Bagaimanapun, dengan pengurusan pengapungan, harga petrol meningkat sebanyak 20sen untuk bulan Januari dan Februari.

 

Dengan mengetahui sistem apungan terkawal dibuat berdasarkan mekanisme penetapan harga yang telah berdekad diamalkan, adalah tidak masuk akal untuk pemimpin Pakatan Harapan menyalahkan kerajaan apabila harga bahan api dinaikkan akibat kenaikan harga minyak mentah global tetapi apabila harga petrol turun pula, tiada pujian diberikan kepada kerajaan dan pandai pula mereka berkata ia disebabkan oleh penurunan harga minyak mentah global.

 

Malaysia konsisten tergolong di kalangan 15 negara termurah harga bahan apinya, dari sejumlah 180 negara di dunia. Dengan sistem apungan terkawal dan sistem APM, harga akan naik dan jatuh berdasarkan harga petroleum bertapis global. Harga bulanan bahan api bukanlah satu isu yang perlu dipolitikkan pembangkang setiap bulan.

 

Sekali lagi, Tony Pua dinasihatkan untuk lebih memahami ekonomi dan keadaan realiti pasaran harga petrol dan tidak berterusan mengeluarkan kenyataan yang tidak masuk akal atau pengiraan yang tidak tepat – atau lebih teruk – bertujuan untuk memesongkan dan mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.