Arahan Trump Tingkat Keganasan Kata Angelina Jolie

LOS ANGELES – Pelakon popular dan pejuang hak asasi manusia, Angelina Jolie, menyifatkan arahan eksekutif Presiden Donald Trump memberi kesan kepada pelarian dan menyemarakkan keganasan.

 

Ia merujuk kepada larangan kemasukan rakyat dari tujuh negara majoriti Islam ke Amerika Syarikat. Tanpa menamakan Trump secara langsung, Jolie yang juga wakil khas Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), berkata diskriminasi berdasarkan agama ibarat bermain dengan api.

 

Pandangannya itu diluahkan dalam ruangan pendapat akhbar New York Times. Pemenang Oscar itu berkata, sebagai ibu kepada enam anak yang semuanya dilahirkan di negara asing dan bangga menjadi rakyat Amerika, beliau percaya kepada keperluan menjamin keselamatan penduduk tetapi keputusan perlu berdasarkan fakta, bukan ketakutan.

 

“Saya mahu tahu sama ada kanak-kanak pelarian yang layak akan mendapat perlindungan suaka dan berpeluang merayu kes kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

 

“Kita boleh menjamin keselamatan tanpa menyekat rakyat seluruh negara, termasuk bayi dengan alasan tidak selamat untuk melawat negara ini atas faktor geografi dan agama,” katanya.

 

Arahan eksekutif Trump itu melarang rakyat Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman memasuki Amerika selama 90 hari. Kemasukan pelarian pula digantung 120 hari, manakala pelarian Syria dilarang sama sekali – Reuters/BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.