Tawaran Timbalan Menteri Dari Najib Untuk Tutup Mulut, Kata Mukhriz

ALOR SETAR – Selepas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendedahkan pernah ditawarkan jawatan Timbalan Menteri di pusat dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Memetik laporan TheRakyatPost, Mukhriz berkata beliau menolak tawaran tersebut kerana mendakwa ianya untuk menutup mulut beliau.

 

“Perdana Menteri pernah menawarkan jawatan Timbalan Menteri, tidak diketahui Kementerian apa, namun saya tolak. Ini bagi menutup mulut,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman.

 

Dakwaan itu bagaimana pun bertentangan dengan pendedahan oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik sebelum ini yang mengakui tawaran tersebut dilakukan Najib bertujuan menyelamatkan kedudukan politik Mukhriz yang terancam berikutan penolakan dari kalangan pemimpin UMNO di Kedah.

 

Dalam pendedahannya itu, Rahim yang merupakan bekas Ketua Menteri Melaka menjelaskan beliau bersama Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Fatmi Salleh terlibat dalam misi untuk mendamaikan antara Najib dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

“Salah satu inisiatif adalah menawarkan Datuk Seri Mukhriz satu jawatan Kabinet pada rombakan yang lalu.

 

“Apabila Tun Mahathir tanya kenapa perlu ubah kedudukan anaknya dari jawatan Menteri Besar Kedah,  saya menjelaskan bahawa Najib yakin bahawa kedudukan Mukhriz terancam kerana ramai pemimpin Umno Kedah yang menolak beliau,” kata beliau dalam satu kenyataan awal minggu lalu seperti dilaporkan Sinar Harian.

 

Susulan tawaran tersebut, Tun Mahathir meminta Rahim berjumpa sendiri dengan Mukhriz bagi menyampaikan tawaran Najib itu dan sedia mengikut sahaja apa yang diputuskan oleh anaknya, kata Rahim lagi.

 

“Malangnya Mukhriz menolak tawaran Najib. Saya kesal hingga sekarang sebab penolakan ini punca kegagalan inisiatif yang dibuat oleh saya dan Fatmi untuk mendamaikan Najib dan Tun Mahathir,” katanya kesal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.