Manchester United Peraga Aksi Terbaik Tewaskan Stoke

MANCHESTER – Manchester United mempamerkan persembahan terbaik mereka sepanjang di bawah kendalian Louis van Gaal dengan kemenangan 3-0 ke atas Stoke di Old Trafford, awal pagi tadi.

 

Anak buah Van Gaal mengulangi kemenangan terbesar Liga Perdana mereka musim ini menerusi jaringan Jesse Lingard, Anthony Martial dan Wayne Rooney.

 

Peningkatan persembahan itu tiba tepat pada masanya – 24 jam selepas pengurus berprofil tinggi, Pep Guardiola dilantik sebagai pengendali seteru utama United, Manchester City.

 

Ketibaan Guardiola yang menggantikan Manuel Pellegrini bukan saja bertujuan untuk menjadikan City kuasa besar di Manchester, tetapi juga di Eropah.

 

United tampak bakal tercicir di belakang jiran mereka itu apabila bergelut untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan, manakala persoalan terus timbul berkenaan nasib pengendali mereka.

 

Van Gaal diejek oleh penyokong United selepas perlawanan terakhir di laman sendiri – kekalahan 1-0 di tangan Southampton.

 

Namun pengendali dari Belanda itu terus berpegang kepada jawatannya dan keputusan terbaru itu – yang disokong oleh gaya menyerang memberangsangkan – meletakkan mereka hanya lima mata di belakang kelompok empat terbaik.

 

Ia memberikan van Gaal sedikit ruang untuk bernafas selepas hanya mencatat dua kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir liga dan hanya menjaringkan 11 gol di laman sendiri.

 

Jumlah keseluruhan 27 gol yang dicatat setakat peringkat ini dalam semusim, adalah yang paling rendah sejak musim 1989-90, di mana United menamatkan saingan di tangga ke-13 dan Mark Hughes muncul penjaring terbanyak dengan 15 gol.

 

Hughes kembali ke laman keramatnya sebagai pengendali Stoke, tetapi ia bukanlah kepulangan menggembirakan apabila perlawanan ke-100 The Potters di bawah kendaliannya berakhir dengan kekalahan dan terus melebarkan rekod tanpa menang Stoke di Old Trafford sejak 40 tahun lalu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.