JDT Tewas Penalti 0-3, Gagal Layak Liga Juara-Juara Asia

KUALA LUMPUR — Hasrat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mencipta sejarah muncul pasukan pertama Malaysia layak ke pusingan playoff Liga Juara-Juara Asia (ACL) tidak kesampaian apabila tewas 0-3 menerusi sepakan penalti kepada wakil dari Thailand, Muangthong United malam ini.

 

Pada aksi kelayakan kedua ACL di Stadium Thunderdome, Nonthaburi, pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan selepas masa tambahan.

 

Ketangkasan penjaga gol Muangthong United, Kawin Thamsatchanan menyelamatkan sepakan penalti tiga pemain import JDT — Jorge Pereyra Diaz, Marcos Antonio dan Hariss Harun — memberikan kemenangan kepada pasukan tuan rumah.

 

Tiga jaringan skuad diberi jolokan “Twin Qilin” itu disempurnakan oleh Cleiton Augusto, Peerapat Notchaiya dan Sarach Yooyen.

 

Muangthong United akan menentang wakil dari China, Shanghai SIPG. di Stadium Shanghai dalam aksi playoff untuk mengesahkan tiket ke pusingan akhir ACL.

 

Pemenang perlawanan itu akan beraksi dalam Kumpulan G bersama-sama Melbourne Victory (Australia), Gamba Osaka (Jepun) dan Suwon Samsung Bluewings FC dari Korea Selatan.

 

Pada peringkat kumpulan, sebanyak 32 pasukan yang diundi dalam lapan kumpulan akan bersaing dalam format liga untuk merebut 16 slot ke peringkat kalah mati, iaitu dua pasukan terbaik setiap kumpulan.

 

Sementara itu, skuad kendalian Mario Gomez itu akan meneruskan saingan pada Piala AFC 2016 dalam Kumpulan H, bersama-sama JSW Bengaluru FC (India), Lao Toyota FC (Laos) dan Ayeyawady United (Myanmar).

 

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara muncul juara Piala AFC tahun lepas, selepas mengalahkan Istiklol dari Tajikistan 1-0 pada perlawanan akhir.

 

Dalam aksi kelayakan lain malam ini, wakil dari China, Shandong Luneng FC membenam Mohun Bagan (India) 6-0; Hanoi T&T (Vietnam) menang tipis 1-0 ke atas Kitchee SC (Hong Kong), manakala Chonburi FC (Thailand) mengalahkan Yangon United (Myanmar) 3-2. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.