‘Jangan Politikkan Sukan Untuk Kepentingan Peribadi’

KUALA LUMPUR – Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kedah (X-Kedah) mendesak supaya diambil tindakan serius terhadap Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Mukhriz Mahathir kerana didakwa telah memperalatkan KFA dan penyokong bola sepak untuk kepentingan politik peribadi.

 

Setiausahanya, Jamaludin Hasan menerusi status dilaman sosial Facebook berkata, beliau berasa amat terkilan apabila timbul dakwaan kononnya para pemain bola sepak Kedah menyokong penuh Mukhriz selaku Menteri Besar (MB) yang saat ini berdepan dengan kemelut politik.

 

Sedangkan menurut Jamaludin lagi, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku sekalipun pada zaman Tan Sri Osman Aroff di mana bekas MB Kedah itu juga pernah mengalami krisis politik seperti Mukhriz.

 

“Tolong jangan mengheret sukan ke kancah politik walaupun terdesak sekalipun kedudukan kita.

 

“Sekali lagi diingatkan tujuan sukan untuk keharmonian jadi janganlah dicemari dengan pemikiran yang sempit,” katanya yang pernah mewakili skuad Kedah di era tahun 1980-an.

 

Keluhan beliau itu dipercayai merujuk kepada kempen saat akhir oleh Mukhriz untuk kekal sebagai Menteri Besar pada malam kelmarin di hadapan 5,000 penyokong bola sepak Kedah yang hadir menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad Helang Merah bertemu Sungai Ara FC di Stadium Darul Aman.

 

Tulisnya lagi, walaupun kedudukan KFA itu di bawah kerajaan negeri dan bukannya bertaraf pasukan bolasepak taman atau kampung, namun bukan bermaksud KFA boleh diseret sama ke kancah politik demi kepentingan presidennya.

 

“Dan sememangnya sesiapa sekalipun jadi MB (akan) dilantik sebagai Presiden KFA . Yang dipertikai disini adalah adakah wajar kemelut politik diri diseret dengan badan sukan, pemain, peminat bolasepak.

 

“Mohon FAM beri perhatian agar KFA tidak dipergunakan. Kita ada FIFA semoga terlepas dari sebarang hukuman,” akhirinya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.