Dr Vida Mahu Bina Hotel Pamoga Qu Puteh TRW Bertaraf 6 Bintang

KOTA BHARU — Stadium Sultan Muhammad IV di sini bukan satu-satunya pengubahsuaian yang akan dilakukan Datuk Seri Hasmiza Othman tetapi juga pembinaan sebuah hotel bertaraf enam bintang.

 

Hasmiza, 44, berkata Hotel Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW) yang bernilai RM280 juta akan dibina setinggi 19 tingkat di tanah berkeluasan 0.7 hektar berhampiran stadium tersebut.

 

“Bahagian bawah hotel berkenaan akan dijadikan kompleks sukan yang menyediakan tempat permainan boling, padang tenis, latihan pukulan golf dan lain-lain lagi.

 

“Jadi, ibu bapa tidak perlu risau sekiranya anak mereka perlu hadir perlawanan di Kelantan kerana kemudahan tempat tinggal sudah tersedia.

 

“Selain itu, hotel itu juga menyediakan kafe sebagai ruang untuk peminat bola sepak menyaksikan perlawanan secara siaran langsung,” katanya seperti dilaporkan akhbar Berita Harian hari ini.

 

Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan berkata apa yang dilakukan adalah bagi memastikan pasukan TRW dapat dibangunkan setanding pasukan antarabangsa.

 

Katanya, satu pertemuan bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob akan diadakan hari ini bagi menyampaikan hasrat itu.

 

“Sebaik saja projek itu mendapat kelulusan kerajaan negeri, pembinaannya akan dijalankan secepat mungkin memandangkan pelan sudah disiapkan.

 

“Selain kompleks sukan dan kafe, saya juga mahu gabungkan sebuah masjid dengan hotel berkenaan supaya usaha saya ini mendapat keberkatan.

 

“Ia juga boleh memberi kemudahan kepada pengunjung dan penyokong untuk menunaikan solat,” beliau dilaporkan berkata.

 

Hasmiza yang juga dipanggil Vida berkata hotel yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan itu juga akan menyaksikan sebuah taman tema dibina sekitar hotel itu. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.