Ahmad Bashah Angkat Sumpah MB Baru Kedah Pagi Esok – SUK

ALOR SETAR – ADUN Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah telah diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang meletakkan jawatan tersebut hari ini.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Bakar Din mengumumkan demikian dalam satu sidang media khas yang di adakan di Wisma Darulaman, kira-kira pukul 11.10 pagi tadi dan turut mengesahkan perlantikan itu telah diperkenan oleh Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

 

Pengumuman oleh SUK itu dibuat sebaik sahaja Mukhriz selesai mengadakan sidang media tergempar mengumumkan perletakan jawatan Menteri Besar Kedah setelah Jemaah Pemangku Sultan Kedah mengesahkan beliau telah hilang kepercayaan majoriti ADUN Kedah.

 

“Adalah dimaklumkan bahawa Datuk Seri Mukhriz telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuatkuasa pada 3 Februari 2016.

 

“Berikutan perletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz, Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah memperkenankan Datuk Ahmad Bashah, ADUN Bakar Bata dilantik sebagai Menteri Besar Kedah berkuatkuasa 4 Februari 2016,” katanya pada sidang media.

 

Majlis perlantikan Menteri Besar Kedah yang baru dijadualkan akan berlangsung esok (4 Februari 2016 / Khamis) bermula jam 10 pagi bertempat di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.