Selepas Rawatan ‘Pagar’, Tiada Lagi Gangguan

Johor Bahru – Insiden histeria yang dilaporkan melanda sebuah sekolah di Kota Tinggi, dekat sini, sejak minggu lalu, dilaporkan sudah reda selepas proses rawatan dan ‘memagar’ kawasan sekolah itu dijalankan kelmarin.

 

Penaung Pusat Rawatan Islam Zahratus Syifa’ Hafsah Ahmad berkata, pihaknya sudah menjalankan proses itu malam kelmarin, selepas mendapat persetujuan daripada pengurusan sekolah.

 

Katanya, ketika menghubungi seorang guru sekolah itu semalam, beliau dimaklumkan suasana terkawal dan keadaan pelajar tenang, manakala sesi pembelajaran berjalan seperti biasa.

 

“Saya menghubungi pihak sekolah sebanyak dua kali pada pagi dan tengah hari tadi (semalam) untuk mengetahui perkembangan terkini dan Alhamdulillah, mereka memaklumkan tiada sebarang gangguan histeria berlaku.

 

“Mereka juga memaklumkan bahawa sesi pembelajaran dapat dijalankan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor Aminuddin Adam berkata, pihaknya sudah dimaklumkan berhubung gangguan histeria yang berlaku di sekolah berkenaan melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi.

 

“Pihak sekolah ada memaklumkan kepada pihak PPD selepas melihat keadaan itu semakin tidak terkawal, namun mereka dinasihatkan untuk cuba menenangkan pelajar yang terkena gangguan itu terlebih dulu.

 

“Jika diikutkan bagi pelajar yang mengalami gangguan teruk, tiada masalah untuk mereka diberikan cuti dan tidak hadir ke sekolah sehingga mereka pulih,” katanya. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.