Pendaki Jepun Tergelincir Di Gunung Kinabalu

Kota Kinabalu – Seorang pendaki warga Jepun tergelincir ketika sedang turun dari puncak Gunung Kinabalu kira-kira pukul 7.45 pagi ini.

 

Menurut kenyataan Taman-Taman Sabah di sini hari ini, mangsa Yoshimasa Maekawa, 65, cedera di kepala dan muka ketika sedang turun 7.3 kilometer dari puncak gunung setinggi 4,095 meter itu.

 

Kakitangan Taman-Taman Sabah dengan bantuan beberapa orang Malim Gunung atau pemandu pelancong memberi rawatan awal kepada mangsa dan mengusungnya turun ke Laban Rata iaitu pada ketinggian 3,272 meter gunung tersebut.

 

Sebuah helikopter Sabah Air kemudian membawa Yoshimasa ke pekan Kundasang sebelum dia dibawa ke Hospital Ranau menaiki ambulans.

 

Menurut kenyataan itu lagi, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

 

Sehubungan itu, pihak Taman-Taman Sabah memohon kerjasama para pendaki lain supaya sentiasa mengambil langkah berhati-hati sepanjang pendakian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.