Pasangan Kekasih Khayal Ditangkap Dalam ‘Sarang’ Dadah

Miri – Sepasang kekasih ditahan polis dalam keadaan khayal selepas dipercayai menagih dadah ketika serbuan di sebuah rumah dekat Kampung Lusut, di sini, semalam.

 

Difahamkan, pasangan yang masing-masing lingkungan 20-an itu menumpang di rumah sewa rakan mereka dan menjadikan lokasi berkenaan ‘sarang’ menagih dadah.

 

Sumber berkata, kelibat pasangan itu hanya muncul di kampung berkenaan pada masa tertentu sejak lebih seminggu lalu sehingga mengundang curiga penduduk kampung yang melaporkan perkara itu kepada polis.

 

Menurutnya, ketika serbuan kira-kira jam 10 pagi, pasangan itu sedang berehat di dalam bilik dan dalam keadaan khayal dipercayai baru selesai mengambil bahan terlarang itu, manakala rakan mereka tiada di rumah.

 

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik, polis menemui satu peket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 0.34 gram, selain peralatan menagih dadah.

 

“Pasangan itu mengaku terbabit dalam kegiatan mengambil dadah sejak beberapa bulan lalu. Ujian air kencing mendapati pasangan itu positif dadah jenis amphetamine,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

 

Katanya, suspek dibawa Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1), akta sama,” katanya. – Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.