Mustafa Ali Adakan Pertemuan Tertutup Dengan Anwar

Kuala LUmpur – Susulan daripada pertikaian antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP dan PAS, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali hari ini telah mengadakan pertemuan tertutup bersama Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Mustafa membuat catatan di laman Facebooknya hari ini dengan menjelaskan pertemuan adalah berkenaan perbincangan mengenai hal-hal semasa PR.

 

Perkara ini turut disahkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil melalui pesanan Whatsapp ketika diminta mengulas berkenaan status yang dimuat naik Mustafa hari ini.

 

“Ya, Mustafa Ali ada datang ke ibu pejabat (PKR) untuk bertemui DSAI (Anwar Ibrahim).

 

“Tapi tak beritahu apa isi kandungan perbincangan,” katanya ringkas kepada The Rakyat Post.

 

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menyarankan semua parti komponen PR untuk tidak membincangkan masalah dalaman mereka secara terbuka.

 

Menurut beliau, segala perbincangan perlu dilakukan melalui perbincangan dalam mesyuarat dan bukanlah untuk diuar-uarkan kepada awam terutamanya untuk disiarkan kepada media.

 

Sebelum ini, Mustafa membuat kenyataan terbuka menentang kepada pandangan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkenaan pilihan raya kerajaan tempatan.

 

Kenyataan itu dilihat semakin merumitkan perbalahan antara dua parti itu yang akhir-akhir ini makin kerap berselisih pendapat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.