Mazidul Akmal Sidik Semakin Pulih

Kuala Lumpur – Wartawan TV3, Mazidul Akmal Sidik yang diserang angin ahmar atau strok sekitar Jun tahun lalu dilihat semakin pulih.

 

Perkembangan itu disahkan oleh rakannya menerusi sekeping gambar Mazidul yang dimuatnaik ke laman Facebook Pengkaji Paranormal Malaysia ‘Penyingkap Fakta’.

 

Mazidul dilihat cukup sihat, berpakaian baju Melayu berwarna hijau lumut, lengkap bersongkok, ketika memeriahkan majlis perkahwinan adik iparnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

 

“Kami tetap bersama dan kekal utuh..qadha dan qadar harus diterima..ujian Allah harus dihadapi dengan keimanan yang kuat…Terima kasih sahabat yang banyak mendoakan sahabat saya Mazidul Akmal”, kata rakannya dipetik melalui Facebook Penyingkap Fakta.

 

Isteri kepada Mazidul, Fazlin berkata beliau tidak pernah berputus asa memulihkan suaminya, yang diketahui umum pernah menjadi aset stesen tv swasta, TV3.

 

Ibu kepada dua anak itu menambah beliau yakin suaminya akan pulih seperti sedia kala, tidak lama lagi.

 

Biarpun Mazidul masih menggunakan kerusi roda dan menggunakan tongkat sebagai alat sokongan, keadaan kesihatan bekas pengacara rancangan 999, terbitan TV3 itu adalah jauh lebih baik daripada sebelumnya, ujar Fazlin.

 

“Jika sebelum ini lihat dia baring atas katil, tapi alhamdulillah dengan berkat doa dan usaha semua, kini keadaannya jauh lebih baik apabila sudah mampu mengerakkan anggota badannya, bangun dan duduk bagaimanapun pergerakannya masih agak terbatas.

 

“Saya bersyukur melihat perkembangan kesihatannya dan amat yakin dia akan pulih dan kembali menjalani kehidupan normal tidak lama lagi,” katanya ketika dipetik sebuah portal.

 

Beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada pasukan Pengkaji Paranormal ‘Penyingkap Fakta ‘ yang sejak dari awal membantu memberikan sokongan dan pertolongan kepada beliau dan suaminya selama ini.

 

Fazlin juga menyatakan penghargaan kepada semua yang mendoakan kesihatan suaminya agar kembali pulih seperti biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.