Kedai Yang Jual Harga Tidak Berpatutan Pulau Sahaja, Malukan Di Media Sosial – Khairy

Kuala Lumpur – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, isu memboikot peniaga yang tidak menurunkan harga barangan selepas harga minyak telah turun melibatkan kuasa pengguna.

 

Katanya, dalam keadaan harga minyak telah turun, pengguna seharusnya memainkan peranan dan menekan peniaga untuk menurunkan harga barang.

 

“Kalau ada kedai yang jual barang pada harga yang tidak berpatutan, pulau sahaja. Kalau terlalu tinggi, lapor kepada KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan mereka boleh menguatkuasakan Akta Pencatutan.

 

“Pada masa yang sama, mungkin TNB juga perlu pertimbangkan untuk menurunkan tarif elektrik. Sebab hari itu mereka minta Jemaah Menteri naikkan tarif sebab input kos bahan bakar naik. Sekarang dah turun,” katanya dalam status laman sosial Facebook miliknya.

 

Khairy berkata, mesej yang penting dalam isu seperi ini ialah kuasa pengguna dan pengguna seharusnya menggunakan kuasa mereka.

 

“Libatkan diri dengan kumpulan pengguna dan aktivis. Nama dan malukan peniaga yang mengenakan harga yang terlalu tinggi pada media sosial,” ujarnya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.