JDT sedia aksi Liga Juara-juara Asia

Johor Baharu – Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk melakar kemenangan ke atas pasukan dari India, Bengaluru pada aksi kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, malam esok.

 

Ketua pasukan JDT Safiq Rahim berkata kesemua pemain cukup bersemangat untuk meraih kemenangan bagi membolehkan skuad bimbingan Bojan Hodak itu melangkah ke pusingan seterusnya dalam aksi kalah mati kelayakan ACL tersebut.

 

“Kita mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri dan ini peluang JDT  melangkah lebih jauh dalam saingan ini,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

 

Beliau berkata skuad Harimau Selatan tidak berdepan sebarang tekanan menentang wakil dari India itu, sebaliknya kemenangan ke atas Pahang pada perlawanan Piala Sumbangsih Sabtu lepas, memberi semangat kepada pemain untuk meneruskan rentak cemerlang apabila bertemu Bengaluru.
“Kami turun tanpa sebarang tekanan, namun pada masa sama, sudah tentu kami mahu keputusan yang baik kerana kami bukan sahaja membawa nama JDT tetapi juga nama negara di pentas antarabangsa,” katanya.

 

Dalam pada itu, Safiq mengakui ketiadaan pemain import, Luciano Figueroa yang mengalami kecederaan memberi sedikit kesan kepada JDT, namun ia bukan alasan bagi skuad Harimau Selatan itu untuk tidak menampilkan aksi terbaik.

 

Beliau berkata pemain yang bakal diturunkan mengisi kekosongan tersebut sudah pasti mempunyai kelebihan tersendiri, sambil yakin bahawa jurulatih lebih mengetahui pemain yang layak bagi menggantikan tempat penyerang dari Argentina itu.

 

Sementara itu, ketua pasukan Bengaluru, Sunil Chhetri berkata mereka tidak gentar beraksi di tempat lawan bertemu JDT walaupun mengakui tidak mengetahui corak permainan juara Liga Super Malaysia 2014 itu.

 

Pemain berusia 31 tahun itu, berkata mereka dilatih untuk fokus terhadap corak permainan sendiri.

 

“Saya tidak tahu apa yang perlu dikatakan mengenai JDT sebab saya tidak pernah lihat permainan mereka. Apa pun, kami perlu mempamerkan permainan sebenar kami malam esok,” kata pemain kebangsaan India itu.

 

Selain Sunil, skuad Bengaluru turut dibarisi dua pemain kebangsaan India – Robin Singh dan Siam Hangal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.