Kerajaan Negeri Ada Bukti Pas Kedah Tidak Bersih

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah mempunyai bukti terdapat kepincangan pengurusan dan penyelewengan yang berlaku sepanjang Pas mentadbir negeri itu sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, beliau sedang menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkan segala penyelewengan itu bagi membuktikan pentadbiran Pas tidak bersih, berbanding apa yang didakwa oleh pemimpin Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

“Laporan Ketua Audit Negara dahulu ada menyentuh mengenai kepincangan pengurusan malah ada penyelewengan yang berlaku ketika zaman pentadbiran Pas Kedah melibatkan kerajaan negeri, syarikat milik kerajaan (GLC) negeri dan jabatan di bawah kerajaan negeri.

“Mungkin Mahfuz tidak baca, terlupa atau sengaja terlupa, saya tidak tahu tetapi apa yang saya tahu kepincangan pentadbiran Pas Kedah adalah antara sebab mengapa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu memihak pada kita.

“Saya akan dedahkan dalam masa terdekat mengenai semua ini, tidak perlu tergesa-gesa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menghadiri majlis ramah mesra bersama kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Ampang Jajar di sini hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.