Kebakaran di Muzium Lilin i-City Dipercayai Sabotaj

KUALA LUMPUR – Kebakaran di Muzium Lilin i-City, Shah Alam yang menyebabkan 10 bahan pamerannya musnah dalam kebakaran Rabu lalu dipercayai berpunca darpada perbuatan sabotaj.

Dalam kenyataan hari ini, I-Berhad, pemaju induk i-City berkata, Red Carpet @i-City dipecah masuk pada awal Rabu menyebabkan insiden kebakaran itu yang memusnahkan sebahagian daripada bahan pameran.

Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diserahkan kepada polis, besar kemungkinan tiga individu melakukan sabotaj memecah masuk premis dan menyebabkan kebakaran itu.

“Mujurlah kerosakan tidak besar hasil kecekapan pihak polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat,” kata Pengurus Maklumat I-Berhad, Tang Soke Cheng.

Memandangkan i-City adalah satu daripada destinasi pilihan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, syarikat itu berkata, perbuatan sabotaj itu adalah sesuatu yang membimbangkan.

Katanya, kawasan pameran utama Red Carpet akan ditutup kepada orang ramai untuk kerja-kerja membaik pulih dan menggantikan semula pameran lilin yang rosak.

Menurutnya, pasukan operasi muzium mengambil langkah alternatif untuk menempatkan semula beberapa pameran lilin yang tidak terjejas ke bahagian lebih kecil untuk pelawat berinteraksi dan meraih pengalaman dengan mengenakan bayaran masuk RM5.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja baik pulih akan bermula selepas cuti Tahun Baharu Cina dan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.

Katanya, mereka yang telah membeli tiket untuk tempoh Tahun Baharu Cina boleh memilih sama ada melawat muzium lilin selepas selesai diubah suai atau menulis surat kepada syarikat untuk pengembalian wang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.