Cadangan Solat Hajat Untuk Pembebasan Pasangan M’sia Di Sweden

KOTA BAHARU – Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob akan memohon perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berhubung cadangan diadakan solat hajat di seluruh negeri Jumaat ini bagi memudahkan urusan pembebasan pasangan Malaysia yang ditahan di Sweden.

Katanya, kerajaan negeri akan memohon perkenan sultan bagi meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memohon masjid di seluruh negeri berbuat demikian.

Ahmad berkata kerajaan negeri berharap rakyat Kelantan terus mendoakan agar mereka dapat kembali bersatu sebagai sebuah keluarga.

“Kita berdoa semoga ibu bapa kanak-kanak ini dapat dibebaskan,” katanya ketika melawat empat beradik itu di rumah ibu saudara mereka di Kampung Wakaf Tok Wali, Peringat, di sini Isnin.

Ahmad turut menghulurkan sumbangan peribadi kepada kanak-kanak tersebut dan berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan yang sesuai kepada empat beradik itu.

Empat beradik itu, Aishah Azizul Raheem, 14, dan adik-adiknya Ammar, 12, Adam, 11, dan Arif, 7, tiba pukul 7.04 pagi Sabtu lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum dibawa pulang ke kampung ibunya di sini pada hari sama.

Mereka kini dijaga ibu saudara mereka, Shaleena Norshal, 43.

Azizul Raheem Awalludin, pegawai Tourism Malaysia di Sweden dan isteri Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan reman sejak 18 Dis lepas kerana didakwa memukul tangan seorang anak lelaki mereka kerana tidak solat.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan pula akan memantau perkembangan psikologi keempat-empat anak pasangan itu di samping membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Pengarahnya Md Noor Chik berkata JKM akan menghantar laporan mingguan kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga mengenai perkembangan psikologi empat beradik itu dalam tempoh mereka menyesuaikan diri.

“Antara masalah yang mungkin dihadapi kanak-kanak ini seperti hari pertama persekolahan mereka kerana masih belum mempunyai kawan, selain kurang fasih berbahasa Melayu.

“Namun saya yakin kanak-kanak ini mampu menangani masalah ini memandangkan ibu saudara mereka merupakan seorang guru dan boleh membantu mereka menyesuaikan diri,” kata Md Noor ketika menyertai lawatan tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.