Maszlee Buat Kesilapan Besar Terlalu Jaga Ultra Kiasu Waktu Jadi Menteri – Prof Dr Ridhuan Tee

BANGI – Sekiranya Dr Maszlee Malik bertegas mengenai isu tulisan jawi dan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sudah cukup untuk melonjakkan namanya, kata Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata, bekas Menteri Pendidikan itu bagaimanapun lebih suka mengambil pendekatan senyap, bahkan hanya lantang di Parlimen dengan menggelar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai perompak.

“Sama ada Maszlee menjadi menteri atau tidak, sistem pendidikan masih memihak kepada pendidikan kebangsaan, tetapi lebih kepada pendidikan vernakular. Yang untung bukan sekolah kebangsaan, tetapi jenis kebangsaan.

“Dalam kata lain, ultra kiasu menang besar, ketika Maszlee masih menjadi menteri, dan sudah tentu paling besar kemenangan apabila meletak jawatan,” katanya menerusi akaun Facebook.

Terdahulu, Maszlee mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan, berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada pertemuan semalam.

“Saya dengan taat setia dan reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Januari 2020 (hari ini).

“Keputusan ini dibuat selepas saya dilihat bukan melalui pencapaian. Kementerian Pendidikan sering jadi perhatian terutama media bukannya melalui pencapaian kita, apa yang berlaku selama 20 bulan ini yang tidak dicapai pada tahun (kepemimpinan) sebelum ini.

“Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepemimpinan terutama membabitkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan sarapan percuma, dan saya percaya keputusan ini bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, kesilapan besar dilakukan bekas Menteri Pendidikan itu kerana terlalu mahu menjaga ultra kiasu, dengan harapan golongan itu akan menyokongnya.

“Nampaknya, Maszlee silap. Beliau tidak kenal siapa ultra kiasu seperti yang selalu saya nasihatkan. Akhirnya, ultra kiasu ini juga yang menjatuhkan kamu.

“Apapun saya boleh beri kredit kepada penambahbaikan yang dibuat di sekolah yang membebankan guru. Hatta, isteri saya sebagai guru terasa juga keringanan bebanan di sekolah. Terima kasih Cikgu Maszlee,” kata beliau. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.