Suami Pukul Isteri Dengan Seterika Ditahan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang tukang besi kerana memukul kepala isterinya menggunakan seterika selepas wanita itu lambat membancuh minuman dalam kejadian di Taman Kerapu, di Butterwortrh pada hari Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa berusia 26 tahun dan merupakan suri rumah, membuat laporan polis setelah mendakwa suaminya berumur 43 tahun memukulnya dengan menggunakan seterika di rumah mereka.

“Lelaki itu bertindak sedemikian selepas berang terhadap isterinya yang sibuk membuat kerja rumah hingga lambat membancuh minuman untuknya. Disebabkan menunggu terlalu lama, dia tiba-tiba mengambil seterika baju dan terus memukul isterinya hingga menyebabkan kecederaan di kepala.

“Berikutan kejadian itu, wanita berkenaan membuat laporan polis dan memaklumkan insiden tersebut bukan kali pertama malah mereka berdua sering bergaduh akibat masalah tekanan hidup,” katanya semalam.

Beliau berkata susulan laporan polis oleh mangsa, polis berjaya menahan lelaki itu pukul 8.40 malam tadi dan merampas seterika yang digunakan suspek untuk memukul isterinya.

Noorzainy berkata siasatan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta ujian air kencingnya juga positif dadah.

Katanya wanita itu yang luka di bahagian kepala menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Seberang Jaya.

“Pasangan itu telah berkahwin lima tahun lepas dan mereka mempunyai dua orang anak, polis masih menjalankan siasatan sama ada kanak-kanak terbabit pernah dipukul oleh bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.