Sepenggal Untuk Tun M Terlalu Lama

KUALA LUMPUR – Masa sepenggal iaitu lima tahun untuk Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri terlalu lama. 

Pandangan itu dilontarkan Otai Reformis 1998 mengaitkan dengan senario politik ketika ini berikutan pelbagai spekulasi, kenyataan media oleh menteri dan tidak kurang usul dalam perhimpunan mesyuarat agung parti yang seolah-olah mahu menidakkan peralihan kuasa tersebut.

Menurut Pengerusi Otai Reformis 1998, Dr Idris Ahmad, pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengagalkan pelan tersebut demi agenda tersirat serta kepentingan tertentu.

“Kita akan tentang secara habis-habisan jika ada pihak yang cuba menimbulkan keadaan tidak ‘seronok’ seperti ini. Sudah tentu kita ada perancangan seandainya pelan transisi untuk mengangkat Anwar Ibrahim ini tidak berlaku selepas tempoh dua tahun.

“Ada juga usul mengatakan seharusnya membiarkan sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghabiskan satu penggal, tetapi tempoh lima itu sangat panjang dan kami tidak boleh tunggu selama itu.

“Benar persoalan yang ditimbulkan oleh anda (media), mengapa Otai Reformism mau bercakap tentang perkara ini, kami tidak akan bercakap jika tidak ada ‘kumpulan-kumpulan’ ini dengan terbuka bercakap dalam media dan perhimpunan agung.

“Sekiranya ada salah silap, kami akan bertindak sebagai ‘semak dan imbang’ untuk memastikan prinsip serta agenda reformasi itu terpesong dari landasan, kami akan buat terguran tanpa teragak-agak,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Dr Idris yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok turut menempelek tindakan Timbalan Pengerusi PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang secara terbuka mempertikaikan pelantikan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) melalui media.

“Adalah tidak wajar sama sekali untuk secara terbuka mempertikai pelantikan dengan menggunakan saluran seperti media, apa sebenarnya niat di sebalik bertindak sedemikian?

“Ini secara tidak langsung sudah menimbulkan persepsi serta gambaran negatif terhadap parti kita sendiri di mata rakyat, adakah ini satu keperluan? Otai Reformis 1998 akan terus pertahan Anwar Ibrahim bukan sahaja sebagai pemimpin utama PKR tetapi juga proses transisi peralihan kuasa,” tegasnya.

Ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini, terdapat usul dikemukakan para perwakilan agar Dr. Mahathir terus memegang jawatan Perdana Menteri selama satu penggal yang turut mendapat sokongan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.