Pelayan Restoran Kena Tampar Selepas Tegur Pelanggan Jangan Merokok

SHAH ALAM: Hanya kerana menegur sekumpulan pelanggan merokok di dalam kedai makan, seorang pelayan restoran berusia 25 tahun, ditampar salah seorang daripada mereka.

Kejadian berlaku di sebuah restoran di Sekysen 25, Shah Alam pada jam 12.30 tengah hari, 1 Januari, iaitu hari yang sama penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan bermula.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, pelayan terbabit telah menegur tiga lelaki yang merokok di dalam restoran terbabit.

“Teguran telah dibuat secara baik, tetapi salah seorang pelanggan tersebut terus menampar muka pekerja itu sebelum membuat pembayaran dan beredar dari situ.

“Ketika kejadian, terdapat dua pekerja restoran dan lima pelanggan lain. Menurut pelayan restoran, suspek jarang dilihat datang ke restoran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Baharudin berkata pekerja restoran itu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana tamparan tidak begitu kuat.

Pihaknya turut meminta suspek untuk tampil ke mana-mana balai polis berdekatan secara sukarela untuk memberi keterangan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!