Otai Reformasi Bimbang Isu Lompat Parti dan Cubaan Kekalkan Dr Mahathir Jadi PM

KUALA LUMPUR – Otai Reformis 1998 melahirkan rasa gusar dengan tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima rata-rata wakil rakyat UMNO yang ‘melompat’ masuk ke parti tersebut sejak akhir-akhir ini.

Malah dengan tindakan membenarkan Ahli Parlimen UMNO yang selama ini ditentang berhabis-habisan itu masuk ke dalam Bersatu dilihat sebagai satu ancaman kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelak.

Menurut Setiausaha Otai Reformis 1998, Abdul Razak Ismail, pihaknya gusar sekiranya trend lompat parti itu melebihi apa yang dijangka, berkemungkinan besar Bersatu akan menjadi parti dominan mengatasi PKR.

“Otai sebenarnya gusar dengan dua senario politik ketika ini, satu usul yang dibawakan oleh Bersatu baru-baru ini yang mahu mengekalkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal iaitu lima tahun.

“Kedua, kes lompat parti pemimpin UMNO ke dalam komponen Pakatan Harapan (PH) terutamanya Bersatu dan Amanah. Kita tentang pemimpin-pemimpin ini, tetapi adakah kumpulan ini sudah menjadi ‘suci’ apabila masuk PH?

“Kita juga gusar jika ramai sangat yang lompat melebihi jangkaan kita ke Bersatu, maka parti itu menjadi dominan mengatasi PKR sendiri.

“Apa yang kita khuatiri apakah yang akan berlaku dalam tempoh dua tahun sebelum proses peralihan kuasa ini, jika kita tidak menyatakan pendirian kita, apa yang akan berlaku.

“Kita mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang ke-8 selepas tempoh dua tahun ini tamat, bagi kami idola dan pemimpin adalah beliau dan kami akan tentang apa sahaja agenda serta usaha yang akan gagalkan sebarang usaha tersebut,” katanya.

Abdul Razak menambah, usul yang telah dibawa oleh Bersatu untuk terus mengekalkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri adalah sangat lama dan bukan seperti yang telah dipersetujui. – MalaysiaGazette

One thought on “Otai Reformasi Bimbang Isu Lompat Parti dan Cubaan Kekalkan Dr Mahathir Jadi PM

  • January 3, 2019 at 7:03 pm
    Permalink

    TUN M bijak menjinakkan dua pemimpin nama besar yang cukup berpengaruh. Permusuhan politik yang sangat parah dan kritikal berakhir dengan tunduk insaf mengalah seolah olah dua pemimpin itu sangat bersalah kepada TUN M yang memiliki setinggi tinggi karisma .

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.