Mana Janji Maszlee Untuk Berundur Sebagai Presiden UIA, Soal Aktivis Mahasiswa

SHAH ALAM – Ketua Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali Sethi Alivi menagih janji daripada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berhubung pengumumannya untuk berundur sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Asheeq membangkitkan perkara itu memandangkan ianya senyap tanpa khabar berita sejak pengumuman mengenainya dibuat dua bulan lalu.

Untuk rekod, Maszlee pada 12 November lalu menulis di Twitter memaklumkan akan melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM sebagaimana yang diputuskan kabinet.

Bagaimanapun, peletakan jawatannya itu tidak akan berkuatkuasa serta-merta kerana beberapa isu berkaitan perlu diselesaikan, termasuk mencari pengganti yang bakal memegang jawatan terbabit.

“Apakah susah sangat untuk mencari pengganti beliau? Adakah susah mencari pengganti atau susah hati untuk berundur diri?,” soal Asheeq.

Justeru, aktivis itu mahu Maszlee mendedahkan kepada orang ramai tentang waktu sebenar beliau akan mengundurkan diri.

Jelasnya, jika pengganti belum ditetapkan, rakyat mempunyai hak untuk tahu mengapa proses tersebut memakan masa yang lama.

“Apakah kemelut yang dihadapi oleh UIA sehingga tiada seorang pun yang boleh menggantikan Dr Maszlee sebagai presiden?” soalnya lagi. 

Sebelum ini Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Maszlee perlu segera meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM memandangkan mesyuarat kabinet telah membuat keputusan yang jelas mengenai perkara tersebut.

Ujar Muhyiddin, Maszlee patut tahu mengenainya dan segera mencari pengganti yang bersesuaian untuk mengambil alih posisi itu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!