Jumlah Kutipan Bantu Abdul Wahab Kini RM60,000, Lagi RM140,000 Diperlukan

KUALA LUMPUR – Jumlah kutipan bagi tabung untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Thailand, Abd Wahab Yahaya, 56, sudah mencecah RM60,000 sehingga tengah hari semalam.

Anaknya, Amirun Abd Wahab, 21, berkata mereka sekeluarga amat berterima kasih kepada semua pihak yang membantu menghulurkan sumbangan termasuk memberikan derma bagi membantu bapanya.

Katanya, ayah dan abang iparnya akan bertemu dengan Gabenor Krabi hari ini bagi membincangkan masalah mengenai kemalangan berkenaan.

“Wakil daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Thailand juga sudah bertemu dengan ayah, semalam, bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani masalah itu selain menyampaikan sumbangan dalam bentuk makanan.

“Sehingga kini, kami masih menunggu sebarang perkembangan terbaru berkaitan dengan kes itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan Abd Wahab terkandas di Krabi, Thailand selepas motosikal ditunggangnya bersama isteri terbabit dalam kemalangan hingga menyebabkan seorang pejalan kaki warga Thailand maut ketika bercuti di pusat peranginan berkenaan.

Akibat kemalangan itu, beliau cedera di bahagian mulut dan perlu menjalani pembedahan untuk membuka jahitan dan skru di tulang pipinya, manakala isterinya mengalami gegaran kecil di kepala.

Malah, keluarga mangsa menuntut pampasan berjumlah RM200,000 sebagai ganti rugi atas kemalangan itu.

Abd Wahab juga perlu menghadapi proses perbicaraan di mahkamah dan berdepan kesukaran untuk meninggalkan negara jiran itu. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.