Isu Pecat Imam: Dr Maza Kongsi Titah Raja Perlis

SHAH ALAM – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi satu video di laman Facebook beliau mengenai titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Inilah Titah DYMM Raja Perlis yang mesti dipatuhi oleh semua imam dan masjid di Perlis,” tulisnya sebagai kapsyen kepada video tersebut.

Video itu dimuat naik Mohd Asri di tengah-tengah kehangatan isu pemecatan 25 imam kariah sekitar negeri itu sebagaimana yang dilaporkan media, hari ini.

Dipercayai video berkenaan adalah titah Raja Perlis di dalam satu majlis, beberapa bulan lalu. 

Di dalam video berdurasi 4 minit 20 saat itu, Tuanku Syed Sirajuddin meluahkan rasa kecewa baginda kerana masih terdapat masjid di negeri berkenaan yang ingkar dengan tidak mematuhi peraturan yang digariskan Majlis Agama Islam negeri.

“Masih ada lagi masjid-masjid yang ingkar dan tidak mematuhi peraturan dan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam. Perkara ini tak patut berlaku kerana di Perlis ini, kita berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Titik. 

“Saya nasihatkan, kalaulah apa yang dipraktikkan itu mereka rasa betul, silalah bawa Al-Quran, hadis, nas berjumpa dengan Datuk Mufti. Minta penjelasan dan bincang dua hala. Kita bukan nak cari siapa betul atau salah, tapi kita nak cari kebenaran. 

“Tapi jangan buat ‘keras’ kerana dengan cara itu, imam itu akan membawa anak-anak kariah seperti ‘kambing terjun ke dalam lubang’. Saya tak mahu lihat anak-anak kariah membuta tuli mengikut, tak tahu apa yang betul dan apa yang salah,” demikian kata baginda.

Terdahulu, media hari ini melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) memecat seramai 25 imam kariah sekitar negeri itu, berkuatkuasa 1 Januari lalu.

JAIPs juga turut mengambil tindakan terhadap lebih 10 imam dengan menukarkan mereka ke kariah lain.

Memetik sumber, Harian Metro melaporkan, pemecatan 25 imam dan pertukaran lebih 10 imam ke kariah lain dilakukan pihak berkuasa agama negeri yang menganggap mereka tidak sehaluan serta tidak mematuhi amalan dan cara yang diamalkan Perlis.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata beliau akan menjawab isu berkenaan menerusi siaran langsung (live FB) malam ini. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!