Amalan 25 Imam Punca Dipecat?

KUALA LUMPUR – Khabar hebat diperkatakan bahawa pemecatan 25 imam di Perlis mempunyai kaitan dengan amalan agama negeri itu yang berbeza dengan negeri-negeri lain.

Menurut laporan, salah seorang imam yang dipecat mendakwa amalan membaca zikir, doa qunut dan yasin berkemungkinan punca mereka semua dipecat. 

“Katanya, pemecatan tersebut mungkin disebabkan mereka mengamalkan bacaan zikir selepas solat, doa qunut, bacaan Yasin pada malam Jumaat serta selawat ketika solat tarawih” menurut salah seorang imam dari Masjid Batu Dua, Kangar yang enggan namanya didedahkan.

Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak terikat secara khusus dengan salah satu mazhab fikah. Negeri-negeri lain di Malaysia mengikuti Mazhab Shafie.

Perbezaan itu sering membuatkan negeri Perlis digelar sebagai Wahabi.

Gelaran ini bagaimanapun ditolak oleh raja dan alim ulama negeri.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (Jaips) hari ini dilapor menamatkan perkhidmatan 25 imam dan menukarkan 10 lagi iman ke kariah lain berkuat kuasa 1 Januari.

Pada 25 Julai tahun lalu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah sekiranya masjid-masjid merasakan ajaran yang dipraktikkan mereka selama ini benar, mereka boleh berjumpa dengan mufti serta merujuk al-Quran mengenai perkara itu.

Sementara itu, imam Masjid Batu Dua juga berkata mereka tidak dipanggil atau diberikan amaran terlebih dahulu.

“Amalan seperti selawat, surah Yasin sememangnya menjadi amalan jemaah sejak dahulu dan kita mengikut kemahuan mereka.

“Di Perlis ini, kira-kira 10 daripada keseluruhan 100 buah masjid di negeri ini dikatakan tidak sealiran dengan jabatan agama daripada sesetengah perkara seperti doa qunut, zikir dan bacaan Yasin.

“Yang lain kita ikut cara yang ditetapkan jabatan agama ini termasuk menggunakan teks khutbah Jumaat yang disediakan mereka,” tambahnya. 

Sementara itu, seorang lagi imam dari Masjid Al- Maghfirah Sanglang, Abdullah Sabu, 61, pula berkata, dia juga terkilan dengan tindakan yang disifatkan terburu-buru itu.

“Tengah elok-elok di masjid, tiba-tiba jadi kelam kabut dengan tindakan ini. Kebanyakan jemaah juga merasakan tidak puas hati dengan tindakan pemecatan tersebut,” beliau dipetik sebagai berkata.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.