Akhbar Singapura Jangka Dr Mahathir Akan Rombak Kabinet

KUALA LUMPUR ― Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin terpaksa merombak kabinet, keputusan sukar yang boleh mengecewakan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), kata The Straits Times.

Perdana menteri dijangka berbuat demikian beberapa bulan lagi bagi meningkatkan sokongan penjawat awam dan masyarakat Melayu, kata penulis akhbar Singapura itu.

Leslie Lopez dalam ulasannya mendakwa beberapa pegawai kanan yang setia kepada Barisan Nasional (BN) menghalang perubahan seperti usaha menjadikan pentadbiran baru lebih telus.

Tambahnya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) secara diam-diam mengakui gabungan itu mendapat sokongan hambar kaum Melayu, yang banyak menyokong BN pada pilihan raya lepas.

“Ketika kerajaan berusaha untuk bertapak, rakyat Malaysia khususnya Melayu yang membentuk lebih 60 peratus penduduk semakin gelisah,” kata wartawan berpengalaman itu.

Menteri PH juga kurang pengalaman mentadbir dan masih berfikir ala pembangkang, selain pergeseran antara presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya Datuk Seri Azmin Ali.

Akibat daripada masalah-masalah ini, tambah Lopez, prospek ekonomi negara tahun ini dijangka terjejas, selain perubahan kabinet boleh menggugat kesatuan gabungan tersebut. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.