PKR Bertindak Khianat, Langgar Syarat Punca Kerjasama Dibatalkan – PAS

KUALA LUMPUR – Dewan Ulama PAS Selangor mengulangi pendirian bahawa pembatalan tahaluf siyasi antara parti itu dan PKR sejak Mei lalu adalah akibat pengkhianatan parti pimpinan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap syarat syarie yang membentuk kerjasama berkenaan.

Pendirian itu kembali ditegaskan berikutan wujud kekeliruan dalam kalangan masyarakat terutama ahli dan penyokong mengenai pendirian PAS terhadap beberapa isu semasa dan politik walaupun sudah dinyatakan berulang kali oleh kepemimpinan parti itu.

Setiausaha dewan, Muhammad Najhan Halim, berkata akibat pembatalan tahaluf siyasi itu, PKR tidak lagi menjadi rakan strategik kepada PAS.

Katanya, PKR bersekongkol dengan parti dan kumpulan yang menentang usaha PAS untuk memartabatkan syariat Islam seperti Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355).

Beliau berkata, PKR juga bersekongkol dengan DAP dan Parti Amanah Negara yang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan.

“Keputusan pembatalan tahaluf ini juga bermakna tiada lagi kerjasama politik antara PAS dengan PKR mahupun diadakan apa saja rundingan politik secara rasmi sama ada peringkat pusat dan negeri tanpa pengecualian.

“Syarat PAS amat jelas dan terang, PAS memang terbuka berunding dengan sesiapa saja selama pihak yang ingin berunding atau mengadakan rundingan hendaklah menghormati prinsip perjuangan PAS dan menerima Islam sebagai dasar PAS serta menguntungkan Islam,” katanya dalam kenyataan semalam.

PAS menerusi Majlis Syura Ulama pada 11 Mei lalu membuat keputusan bahawa tahaluf siyasi dengan PKR terbatal disebabkan tiga perkara utama yang disyaratkan oleh syarak dalam keharusan bertahaluf.

Perkara itu ialah PKR tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa PAS seperti RUU 355; melanggar adab kerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej parti serta khianat dalam hubungan politik PAS apabila bekerjasama dengan pihak yang ingin menjatuhkan PAS.

Muhammad Najhan berkata keputusan pembatalan tahaluf siyasi PAS dengan PKR adalah muhasabah PAS dalam tahaluf sejak zaman kepemimpinan Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat selepas meneliti sikap dan tindak tanduk rakan tahaluf setiap masa dan mengkaji secara mendalam kesan dan impak tahaluf kepada Islam dan perjuangan Islam.

Beliau berkata, menerusi pendekatan budaya politik matang dan sejahtera, PAS melaksanakan taawun siyasi, kerjasama dalam perkara kebaikan dan ketakwaan demi kelangsungan Islam walaupun menyebabkan PAS berdepan pelbagai tuduhan dan fitnah daripada musuh politik.

“Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pernah menceritakan kisah dilema Raja Islam di Sepanyol ketika empayar Islam Sepanyol diancam serangan oleh tentera Salib. Maka, terdapat cadangan supaya diminta bantuan daripada Kerajaan Islam di Maghribi.

“Namun wujud kekhuatiran Raja Islam Sepanyol jika meminta pertolongan Raja Maghribi bahawa kedudukan mereka mungkin akan bertukar menjadi pengembala kambing yakni rendah kedudukan kerana tunduk kepada kuasa Raja Mahgribi.

“Tetapi dijawab, bahawa lebih baik jadi pengembala kambing kepada Islam daripada menjadi pengembala babi kepada tentera Salib. Akhirnya dengan bantuan Raja Maghribi, empayar Islam Sepanyol mampu bertahan 400 tahun lagi ditambah 800 tahun sebelumnya,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.