Isu Calon PM Jadi Cabaran Terbesar Pakatan Harapan

Seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr. Rais Hussin telah mempersoalkan kenapa perlu mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) untuk Pakatan Harapan sedangkan Anwar mempunyai rekod songsang.

Rais sebaliknya mahu Dr. Mahathir Mohamad diangkat sebagai Perdana Menteri semula. Kenyataan beliau yang juga Ketua Biro Strategi & Polisi PPBM itu sekali gus menunjukkan bahawa Rais menolak Anwar sebagai calon PM.

Malah katanya Anwar kini bukan lagi keutamaan Pakatan Harapan.

“Jika KEADILAN masih dengan pendirian untuk menjulang Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, mereka selayaknya keluar dan berhenti menjadi parti anggota Pakatan Harapan dan mereka dicadangkan bergabung dengan parti lebai PAS sahaja,” demikian sindir Rais dalam satu kenyataan.

Ternyata kenyataan beliau itu menunjukkan bahawa sebenarnya PPBM tidak mahu Anwar dicalonkan sebagai Perdana Menteri.

Sudah pasti ini akan mencetuskan krisis dalam Pakatan Harapan, yang sehingga kini ada kelompok yang masih mengharapkan Anwar menjadi Perdana Menteri meskipun beliau kini sedang menjalani hukuman di penjara akibat kes liwat.

PKR sebelum ini dilaporkan bersetuju Mahathir menjadi PM sementara dan Dr. Azizah Wan Ismail menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Melihat kepada kenyataan lantang Rais itu, ia menunjukkan bunga-bunga tentangan dari dalam PPBM. Memang bukan rahsia lagi Rais tidak mahu Anwar diangkat sebagai calon PM.

Beliau pernah meluahkan sebelum ini bahawa Anwar bukan keutamaan lagi. PPBM mahu Mahathir menjadi calon PM tetapi PKR mahukan Anwar.

Disebabkan masalah ini PH mengambil masa yang lama untuk mengumumkan calon PM mereka. Apa yang pasti PKR berisiko kehilangan penyokongnya yang suatu masa lalu dan sehingga kini masih membenci Mahathir.

Ternyata calon Perdana Menteri bagi PH masih menjadi isu dan menjadi cabaran terbesar kepada parti berkenaan.

Dengan mencalonkan Mahathir sebagai PM pun ada banyak kesannya. Ternyata PH kini semakin tertekan dan keliru hinggakan terpaksa mencalonkan semula Mahathir disebabkan tiada calon.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.