‘Ingatkan Pencuri Masuk Rumah, Rupanya…’

KUANTAN – Bunyi bising seakan barang terjatuh mengejutkan seorang penduduk Perkampungan Sungai Isap Damai, di sini, yang menyangka rumahnya dipecah masuk pencuri.

Mohd Fauzi Mohd Lazim, 49, berkata bunyi bising itu kedengaran kira-kira jam 5 pagi semalam, menyebabkannya bergegas memeriksa kediamannya.

“Sejak jam 3 pagi, saya meninjau keadaan, namun masih baik. Hanya sekitar jam 5 pagi saya dikejutkan dengan bunyi agak bising.

“Mulanya ingat pencuri masuk rumah, tapi bila periksa di ruang tamu, rupanya air sudah naik ke paras lutut dan barang terapung,” katanya yang berpindah ke pusat pemindahan sementara di Kompleks Belia Indera Mahkota, di sini hari ini, petik BH

Katanya, bunyi bising berkenaan sebenarnya disebabkan barang serta perabot di rumahnya saling berlanggar.

Sementara itu, Omar Embong, 63, pula berkata paras sungai yang semakin meningkat, ditambah hujan berterusan membimbangkan mereka sekeluarga.

“Ia mengingatkan kami kepada banjir besar pada 2013. Ketika itu air rumah kami tenggelam sehingga paras dada,” katanya.

Tinjauan mendapati sebahagian besar penduduk yang tinggal berhampiran sungai sudah mula mengambil langkah berjaga-jaga, ada di antara mereka berpindah ke rumah saudara mara.

Ada juga memindahkan kenderaan ke kawasan selamat seperti di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah Sungai Isap Damai dan bahu jalan di kawasan lebih tinggi.

Banjir mula melanda negeri ini sejak Isnin lalu, iaitu di Kuantan dan Rompin yang menyebabkan lebih 3,000 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.