Bekas Pemimpin Srikandi Tuntut Ahli MPT PPBM Mohon Maaf

KUALA LUMPUR – Bekas Penolong Setiausaha Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Hasnita Hishamudin menuntut permohonan maaf daripada pihak yang menuduhnya terbabit dalam isu ‘membeli’ Srikandi PPBM Pahang.

Katanya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM, Wan Shahrir Wan Abd Jalil membuat tuduhan berkenaan menerusi satu kenyataan media pada 2 Disember lalu.

Beliau memberi tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk Wan Shahrir memohon maaf secara terbuka atau berdepan tindakan saman.

“Saya amat kecewa atas kecaman diterima walau sudah menyatakan perkara yang benar. Dengan ini saya mendesak beliau memohon maaf di atas pertuduhan melulu ke atas diri saya tanpa mengemukakan bukti yang nyata.

“Saya memandang serius isu ini yang jelas menuduh serta mencalarkan imej serta nama baik saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasnita juga menasihatkan pimpinan PPBM supaya jangan hanya pandai membuat andaian dan ramalan kosong jika tiada bukti kukuh.

“Saya yakin rakyat bijak menilai sendiri isu yang dicetuskan (PPBM) kebelakangan ini.

“PPBM adalah parti yang penuh dengan agenda, dendam politik. Saya amat bersyukur kerana tidak lagi berada di dalam kancah perjuangan palsu itu,” katanya.

Hasnita mengisytiharkan keluar PPBM berkuat kuasa serta-merta pada 15 September lalu. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.