Amaran AS Pada Korea Utara, Jangan Ada Lagi Ujian Peluru Berpandu

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, memberi amaran kepada Korea Utara pada hari Selasa berhubung mengadakan satu lagi ujian peluru berpandu dan mengatakan Washington tidak akan mengambil sebarang perbincangan secara serius antara Korea Selatan dan Korea Utara jika mereka tidak berbuat sesuatu supaya Pyongyang menghentikan program senjata nuklearnya.

Haley memberitahu pemberita bahawa Amerika Syarikat mendengar laporan bahawa Korea Utara mungkin bersiap untuk melancarkan satu lagi peluru berpandu.

“Saya harap itu tidak berlaku, tetapi jika ia berlaku, kita mesti ambil langkah lebih tegas terhadap rejim Korea Utara,” kata Haley.

Korea Selatan pada hari Selasa menawarkan rundingan dengan Korea Utara minggu depan, di tengah-tengah ketegangan berhubung program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang, selepas pemimpin Korea Utara Kim Jong Un berkata dalam ucapan sempena Tahun Baru bahawa dia “terbuka untuk berdialog” dengan Seoul.

Kim juga berkata beliau terbuka kepada kemungkinan atlet Korea Utara mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan bulan depan.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa negaranya akan meneruskan langkah dengan menghasilkan senjata nuklear dan berkata, terdapat butang di mejanya yang boleh melancarkan peluru berpandu ke AS.

Presiden AS, Donald Trump menjawab kepada Kim melalui Twitter pada hari Selasa: “Bolehkan seseorang dari rejim itu beritahu dia yang saya juga ada butang nuklear, tetapi ia lebih besar & lebih kuat daripada yang dia ada, dan butang saya berfungsi!”

Haley berkata AS tidak akan mengambil perbincangan secara serius jika mereka tidak mengambil langkah ke arah mengharamkan senjata nuklear Korea Utara.

“Korea Utara boleh bercakap dengan sesiapa sahaja yang mereka mahu, tetapi AS tidak akan mengiktirafnya sehingga mereka bersetuju untuk mengharamkan senjata nuklear yang mereka miliki,” katanya.

Haley tidak memberikan butiran mengenai persediaan untuk ujian peluru berpandu.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.