Guru Menyesal Selepas Pergi Rumah Urut

MELAKA – Dalam kehangatan pelajar dan murid di seluruh negara mahu memulakan sesi persekolahan, hasrat seorang guru lelaki pula yang sedang mendapatkan perkhidmatan urutan di sebuah pusat urut dan spa di Taman Melaka, Raya di sini, jam 1 pagi semalam berakhir dengan kekesalan selepas dia ditahan pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

 

Memetik laporan Harian Metro, lelaki berusia 35 tahun itu antara dua kakitangan awam yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Cegah Maksiat diketuai JAIM, bermula jam 9 malam kelmarin.

 

Menurut lelaki berkenaan, dia mendapatkan khidmat urutan di pusat urut dan spa itu selepas bercuti panjang di kampung dan akan kembali bertugas hari ini di sebuah sekolah di Putrajaya.

 

“Saya baru saja mula urut, tak sangka pula kena tahan. Susahlah, habislah saya kalau macam ini. Saya rancang untuk pulang ke Putrajaya awal pagi esok (semalam), sebelum memulakan tugas,” katanya dipetik sebagai berkata.

 

Dalam serbuan selama enam jam yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JAIM dan dibantu anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 10 pasangan kekasih dan sembilan lelaki yang mendapatkan perkhidmatan di rumah urut ditahan.

 

Selain guru berkenaan, seorang lagi penjawat awam yang merupakan seorang anggota tentera, lelaki berusia 22 tahun turut dicekup ketika bersekedudukan dengan seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam berusia 21 tahun dalam sebuah bilik hotel di Ujong Pasir, lapor Harian Metro.

 

Ketika pintu diketuk kira-kira jam 3 pagi, lelaki berkenaan memanjat melalui tingkap dan bersembunyi di sebalik papan iklan yang dipasang di luar bangunan hotel.

 

Bagaimanapun, pasangan anggota tentera itu mendakwa hanya bermalam di hotel berkenaan dan tidak melakukan sebarang perkara tidak senonoh.

 

“Betul saya tidak buat apa-apa dengan dia dan kami hanya tidur. Saya sepatutnya pulang ke universiti di Dungun, Terengganu malam ini (kelmarin) tapi tiket habis dan yang ada hanya pagi esok (semalam),” katanya.

 

Semua individu ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JAIM untuk siasatan lanjut dan membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah 1991 atas kesalahan bersekedudukan, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM Rahimin Bani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.