VIDEO: Lagi Kes Pelajar Kena Buli Di Kedah

Alor Setar – Satu lagi video membabitkan kes buli murid di satu sekolah di Jalan Langgar dekat sini, tersebar sehingga menjadi viral di laman sosial, Facebook, sejak semalam.

Rakaman video berdurasi seminit 51 saat yang memaparkan seorang murid tahun enam dibuli sekumpulan rakan seusianya di sekolah mereka itu kini sudah mendapat perhatian kira-kira 30,000 pengguna laman sosial itu.

Difahamkan, kes itu berlaku pada waktu rehat di sekolah terbabit pada sekitar September tahun lalu iaitu selepas mereka menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Wakil keluarga pelajar itu, ketika ditemui di sekolah berkenaan, bagaimanapun enggan mengambil tindakan terhadap sekolah tetapi sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, tengah hari tadi bagi rujukan pihak berkuasa.

Wakil keluarga itu yang juga Ketua Pemuda MIC Alor Setar, W Thiruchandru, berkata ibu-bapa pelajar itu tidak berhasrat untuk memanjangkan isu berkenaan tetapi mahu pihak berkuasa memberi amaran kepada pelajar terbabit supaya tidak mengulangi kejadian sama.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Datin Azuyah Hassan, berkata pihaknya sudah mengarahkan pegawainya untuk menyiasat kes buli terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.