Polis Pantau Kegiatan Gangster

Georgetown – Polis terus memantau 14 kumpulan gangster termasuk empat yang masih aktif di negeri ini agar tidak mendatangkan mudarat kepada keselamatan orang ramai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berikutan itu, tiada banyak kes pergaduhan antara kumpulan itu sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan itu, kes gangsterisme di Pulau Pinang masih terkawal walaupun ada ahlinya terlibat dengan jenayah.

“Polis akan mengambil tindakan tegas untuk membanrterasnya dari semasa ke semasa,” katanya selepas melepaskan peserta perarakan Maulidur Rasul anjuran Liga Muslim dan Persatuan Muslim Pulau Pinang, di Masjid Kapitan Keling, di sini, petang, hari ini.

Hadir sama, Presiden Liga Muslim, Datuk Haja Najmudeen Kadeer, naib presiden, Shahul Hameed Syed Mohamed dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner, Mior Faridalathrash Wahid.

Sementara itu, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama memasang papan tanda digital di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) yang memaparkan indeks jenayah terkini kepada orang awam dalam usaha mengurangkan kadar jenayah.

Abdul Rahim berkata, papan digital itu akan memaparkan informasi terkini tentang indeks jenayah di negeri ini dan dikemaskini setiap hari.

“Kita juga akan pasang lima atau enam papan tanda pelbagai bahasa di setiap daerah untuk meningkatkan kesedaran orang awam,” katanya.

Menurutnya, kadar jenayah di negeri ini menurun kepada 423 kes atau 5.3 peratus tahun lalu dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang disaarkan iaitu lima peratus.

Dalam program itu, lebih 3,000 kaum India Muslim dan umat Islam menyertai acara perarakan dan berselawat bertemakan ‘Perpaduan Nadi Transformasi Negara’. – Sinar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.