Kerajaan PAS Kelantan & Syarikat Pembalakan Perlu Sama-Sama Bantu Mangsa Banjir

Usaha baik pulih rumah penduduk yang terjejas dan membina semula kediaman mangsa banjir yang musnah disebabkan musibah banjir di Pantai Timur khususnya di Kelantan seharusnya tidak hanya terbeban di bahu Kerajaan Pusat semata-mata.

Kerajaan PAS Kelantan tidak boleh berlepas tangan dan sekadar goyang kaki membiarkan Kerajaan Pusat melakukan semua usaha tersebut sebaliknya perlu ada inisiatif di pihak Kerajaan Negeri untuk sama-sama membantu.

Amat mustahil kalau dikatakan Kerajaan PAS Kelantan langsung tak berkemampuan untuk menghulur bantuan. Banyak sumber kewangan Kerajaan Negeri yang boleh dimanfaatkan.

Kerajaan PAS Kelantan diketahui umum banyak meluluskan permit pembalakan di Hulu Kelantan, jadi mustahil tiada walau sekelumit keupayaan kewangan untuk disalurkan kepada penduduk yang rumah mereka rosak dan musnah disebabkan banjir.

Wang royalti dari hasil kayu balak yang ditebang dari kawasan hutan dan bukit-bukit di Gua Musang & Kuala Krai pasti banyak dalam saku Kerajaan Negeri, apa salahnya kalau sedikit dari hasil negeri itu dikongsi bersama rakyat Kelantan.

Selain itu syarikat pembalakan di Kelantan termasuk yang dimiliki dua sepupu sepapat dalam PR serta rakan taulan kroni pemimpin PAS juga perlu ringan-ringankan tangan untuk menyumbang bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.Longgokan Kayu Balak Banjir Di Kelantan

Kebetulannya antara sebab musabab berlakunya banjir besar di Kelantan sejak seminggu dua yang lepas adalah kerana limpahan air yang menderu laju turun dari kawasan tadahan air di bukit-bukit Gua Musang dan Kuala Krai yang telah digondolkan kesan dari aktiviti pembalakan.

Dari atas sana limpahan air bersama-sama sampah sarap pembalakan berserta longgokan kayu balak yang hanyut masuk pula ke dalam sungai-sungai dan menyekat alirannya menyebabkan air sungai pula melimpah ke daratan membanjiri penempatan penduduk.

Mangsa banjir tak minta longgokan kayu balak dihantar terus ke rumah mereka sebagaimana yang berlaku semasa banjir, yang mereka harapkan hanyalah bantuan kewangan dan lain-lain keperluan untuk membaiki rumah yang rosak dan membina semula kediaman yang musnah.

Hasil kayu balak dari bumi Kelantan sudah bertahun-tahun dinikmati dengan sakan sekali oleh syarikat pembalakan, maka inilah saatnya untuk berkongsi kekayaan bumi Kelantan dengan penduduk setempat yang ditimpa musibah banjir, bukan begitu? -Mykmu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.