Kerajaan Akan Kaji Semula Struktur Jambatan

Kuala Lipis – Kementerian Kerja Raya akan mengkaji semula reka bentuk jambatan dalam negara bagi mampu menampung ketahanan jika bencana alam berlaku semula.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof berkata, kementeriannya akan melihat semula perkara ini kerana reka bentuk sekarang adalah bagi kegunaan 100 tahun ke hadapan sahaja.

“Pasukan jurutera kita selalunya akan melihat secara keseluruhan, melakukan siasatan forensik mencari di mana kelemahan dan membuat reka bentuk baharu bukan seperti normal kerana bencana di Malaysia ini kadarnya sudah meningkat.

“Kita lihat dan belajar dari kelemahan yang dihadapi dan perbaiki termasuk dari segi standarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melawat Jambatan Sungai Tanum yang menjadi laluan pintas Kuala Lipis ke Gua Musang runtuh pada kedua-dua tebingnya.

Dalam pemkembangan lain, katanya, pihaknya akan kemaskini data maklumat berkenaan jalan ditutup setiap tiga jam keseluruhannya.

“Setakat ini hanya LPT (Lebuh raya Pantai Timur) di Temerloh tidak boleh dilalui kerana banjir teruk, termasuk jalan negeri dan jalan persekutuan.

“Bagaimanapun kita ada memberikan alternatif lain kepada pengguna untuk ke pantai timur,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.