Henti Pembalakan Di Ulu Kelantan

Gua Musang – Kerajaan negeri Kelantan digesa supaya menghentikan segera aktiviti pembalakan dan pembukaan tanah untuk pertanian di Ulu Kelantan terutama di Tanah Tinggi Lojing.

Anggota Dewan Undangan Negeri Galas, Ab Aziz Yusof berkata jika aktiviti tersebut masih diteruskan sama ada oleh syarikat atau individu, ia akan menambahkan lagi kesan buruk kepada alam sekitar dan banjir lumpur boleh berulang.

“Masalah ini bukan baharu tetapi sudah kerap kali dibangkitkan pelbagai pihak termasuk masyarakat Orang Asli yang tinggal di sekitar Lojing,” katanya kepada Bernama.

Kegiatan pembalakan dan pembukaan tanah untuk pertanian di kawasan berbukit di Ulu Kelantan dipercayai antara faktor yang menyumbang kepada berlaku banjir besar baru-baru ini sehingga lebih 104,000 penduduk Kelantan terpaksa berpindah.

Ab Aziz yang meninjau kawasan Tanah Tinggi Lojing sebulan lalu mendapati berlaku pembukaan tanah yang luas untuk pertanian.

“Keadaan beberapa sungai di Lojing khususnya Sungai Belatop kerap kali melimpahi tebing apabila hujan lebat dan ini membuktikan tidak ada lagi zon penampan untuk kawalan hakisan sungai.

“Air sungai di Lojing mengalir deras menuju sungai Galas dan Nenggiri sebelum memasuki Sungai Kelantan di Kampung Kemubu, Kuala Krai,” katanya yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Gua Musang.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Pos Sendrop, Rashid Akoh berkata kerajaan negeri tidak memberi perhatian terhadap aduan penduduk sebelum ini.

“Kami bukan mereka-reka cerita mengenai perkara ini dan kini jelas apabila banyak kawasan mengalami hakisan serta menjejaskan keselamatan penduduk,” katanya.

Seorang penduduk Isa Alang, 33, pula berkata kini boleh dikatakan kebanyakan perkampungan Orang Asli dikeliligi ladang sayur di Pos Brooke dan Lojing yang dimonopoli orang luar dari Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.