Budaya Syura Penting Diamalkan Dalam Pentadbiran – Sultan Nazrin

Ipoh – Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah bahawa Islam menegaskan betapa pentingnya diamalkan budaya syura dalam sistem pentadbiran bagi membolehkan pandangan dan pendapat disuarakan.

Islam juga menganjurkan kesediaan mendengar dan menganalisis secara rasional hujah dan pendirian yang berbeza untuk membolehkan keputusan yang dirumuskan dicapai secara kolektif, titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini, hari ini.

Baginda bertitah Islam menegaskan bahawa pemerintahan wajib bersandarkan undang-undang dan pemimpin tidak memiliki sebarang keistimewaan mahupun kekebalan untuk berada di atas undang-undang.

“Pemimpin yang menghayati roh Islam akan mengasaskan pemerintahan berteraskan kebenaran – bertiangkan keadilan,” titah baginda.

Sultan Nazrin juga bertitah Islam membenarkan umatnya bersuara, bersifat kritikal dan mereka diseru untuk memiliki keberanian menegakkan kebenaran dan ketegasan mempertahankan keadilan.

“Umat Islam diseru memenuhi tanggungjawab moral, menggunakan daya intelek kurniaan Ilahi untuk mencetuskan cadangan dan pandangan demi kebaikan dan kesejahteraan ummah.

Islam membenarkan kebebasan bersuara tetapi kebebasan tersebut wajib dikembarkan dengan tanggungjawab,” titah baginda.

Pada masa yang sama baginda bertitah negara Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW mengutamakan keadilan kerana ia adalah faktor yang akan menentukan rasa hormat dan penerimaan rakyat kepada pemimpin.

“Sifat adil yang diamalkan oleh Rasulullah SAW tidak hanya dinikmati oleh umat Islam malah keadilan dipastikan turut dinikmati oleh bukan Islam.

Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan menganut agama, dijamin boleh mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan usaha-usaha pembangunan sosial,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah Perlembagaan Madinah menetapkan bahawa setiap insan tanpa mengira pegangan agama, tanpa mengira amalan budaya dijamin hak asasi masing-masing.

Baginda turut bertitah menggubal sesuatu piagam adalah satu permulaan namun apa yang lebih penting adalah kesediaan rakyat menerima pakai piagam yang telah digubal.

“Piagam yang telah diterima pakai pula, perlu dipastikan memberi kesan dan memenuhi matlamat penggubalannya, terus dihormati dan terus diyakini untuk terus didukung sepanjang masa.

Oleh itu pada peringkat menggubal sesuatu perjanjian mahupun dasar, amatlah penting diamalkan sifat inklusif, dipastikan adanya partisipasi yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak, mewakili pelbagai konstituen, terutama ketika menangani isu-isu sensitif, isu-isu kontroversi dan isu-isu yang menyentuh pendirian yang bercanggah,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah rakyat juga perlu saling menghormati, bersatu padu mempertahankan kedaulatan watan, meluhurkan perlembagaan dan mendaulatkan undang-undang supaya keadilan dapat dicapai agar Allah melimpahkan rahmat keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.