SPRM Buka Kertas Siasatan Rasuah Orang Asli

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berlakunya rasuah ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu membabitkan kawasan Parlimen Cameron Highlands.

Perkara ini disahkan Timbalan Ketua Pengarah Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

“Saya mengesahkan bahawa satu kertas siasatan dibuka mengenai dakwaan berlaku salah laku memberi rasuah ketika berlangsungnya PRU-14 lalu.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai individu yang disiasat memandangkan siasatan kes ini masih berjalan. Jika terdapat sebarang kemajuan akan dimaklumkan kelak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya pada Jumaat lalu mengisytiharkan keputusan bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14 Mei lalu yang memberikan kemenangan kepada calon Barisan Nasional terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas mendapati terbukti wujudnya amalan rasuah diketahui dan mendapat keizinan penyandang kerusi itu, Datuk C Sivarraajh.

Azizah berkata, wang itu diberikan sama ada secara terus oleh Sivarraajh kepada pengundi Orang Asli atau melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kini Menteri Besar Pahang) atau ejennya untuk mempengaruhi pengundi untuk memilihnya.

Pada 4 Jun lalu, Manogaran, 59, memfailkan petisyen bagi memohon perisytiharan bahawa keputusan (PRU14) bagi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 atas dakwaan responden (Sivarraajh) merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.