Perkasa Tolak BN Kerana Isu Kos Sara Hidup, Bukan Mahu PH Rombak Dasar Melayu dan Islam – Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Gerakan hak pribumi, Perkasa hari ini mengingatkan kerajaan Pakatan Harapan bahawa mereka menolak kerajaan Barisan Nasional atas isu sara hidup, bukan dasar kesamarataan seperti yang dicanangkan.

Presiden Datuk Ibrahim Ali dalam ucapan kepada 1,327 anggota perwakilan di perhimpunan agung tahunan Perkasa berkata, mereka tidak pernah menghendaki dasar nasional melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam diubah.

Ibrahim berkata Bumiputera berdepan cabaran lebih kritikal dan mencemaskan kerana dasar keterbukaan kerajaan sekarang yang membawa slogan “Malaysia Baharu”.

“Sepatutnya, jika kerajaan atau pemimpin bermasalah, tukar sahajalah kerajaan atau pemimpin, bukannya mahu dirombak segala dasar nasional terutama yang melibatkan kepentingan orang Melayu dan Islam,” katanya.

Beliau berkata rakyat sudah menunaikan tanggungjawab menumbangkan ketua-ketua bermasalah, tetapi kerajaan sekarang tidak patut menjahanamkan dasar dan institusi yang sudah sebati dan diterima rakyat.

“Tetapi yang berlaku sekarang ini kelambu dibakar, menyebabkan nyamuk berkeliaran. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Rakyat mengharapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Siapa sangka?” katanya.

Beliau turut membidas isu-isu liberalisme, pluralisme dan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender” yang semakin menjadi-jadi hari ini.

Ibrahim berkata hak kebebasan dan hak asasi tidak boleh mengatasi hukum agama.

“Ini semua jika dibiarkan dan tidak ditangani pihak keselamatan, ia hanya membawa negara ini menuju ke jalan kehancuran, atau yang saya namakan ‘malapetaka bangsa’.

Dalam isu lain, Ibrahim Ali turut mempersoalkan Belanjawan 2019 yang menurutnya tiada lonjakan untuk agenda Bumiputera.

“Paling ketara, tiada pembelaan terhadap petani, pekebun getah dan nelayan. Harga getah, sawit merudum hingga terpaksa ikat perut.

“Kita di Perkasa melihat tiada lonjakan untuk agenda Bumiputera. Adakah kerana dasar kesamarataan atau dasar berasaskan keperluan menjadi punca?” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.