Pelaburan Asing Turun Tiga Kali Ganda Tapi Lim Guan Eng Dabik Dada Kata Naik – Najib

PETALING JAYA – Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak semalam mendakwa angka rasmi pelaburan langsung asing (FDI) bukan seperti yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Najib berkata laporan rasmi Bank Negara dan Jabatan Statistik Negara menunjukkan FDI mengalami “kejatuhan teruk” bagi 9 bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas, menurun 3 kali ganda dan bukannya naik 3 kali ganda.

“FDI untuk suku pertama yang tinggi pun sudah menjunam bagi suku ke-2 dan suku ke-3,” katanya di Facebook. “Adakah agensi-agensi rasmi kerajaan tersalah lapor?”

Terdahulu, Lim memberitahu pemberita bahawa jumlah pelaburan luar negeri ke Malaysia untuk 9 bulan pertama tahun ini hampir 4 kali ganda berbanding tahun lepas, atau RM49 bilion berbanding RM14 bilion.

Menteri berkata ia tanda keyakinan luar negeri kepada pentadbiran Tun Dr Mahathir biarpun kerajaan Pakatan Harapan baru memerintah selama 6 bulan.

“Tak ada angin, tak ada ribut, pagi ini (semalam) Lim dengan tiba-tiba dan bangganya melaporkan FDI naik 350%. Lalu dia memuji kerajaan PH atas kejayaan untuk 5 bulan ini (Mei-September). Saya amat pelik sebenarnya,” kata Najib.

Najib memuatnaik gambar membandingkan FDI 2018 dengan 2017 bagi suku tahun pertama, suku ke-2 dan suku ke-3.

Ia menunjukkan FDI tahun ini menurun daripada RM12 bilion pada suku pertama kepada RM2.8 bilion pada suku ke-2, dan naik kepada RM3.9 bilion pada suku ke-3.

FDI pada suku pertama tahun lepas berada pada RM17.2 bilion, menurun kepada RM8.7 bilion pada suku ke-2, dan naik kepada RM11.7 bilion pada suku ke-3. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.